Malaysia Dateline

Shaharuddin tempelak Nur Jazlan dakwa Bersatu tipu rakyat, langgar perlembagaan parti

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membidas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed yang berkata parti itu menipu rakyat dengan melanggar perlembagaan tanpa mengadakan persidangan bahagian dan cawangan terlebih dahulu sebelum Perhimpunan Agung Tahunan diadakan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Shaharuddin Md Salleh  berkata, kenyataan Nut Jazlan itu tidak berasaskan fakta yang tepat, tetapi dibuat dengan bermotifkan politik.

“PPBM tidak mengadakan persidangan cawangan kerana setakat ini belum ada satu cawangan pun yang telah berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“PPBM pada waktu ini masih dalam proses mendaftarkan cawangan-cawangan di seluruh negara

“Persidangan bahagian juga tidak diadakan kerana menurut tafsiran perlembagaan PPBM, persidangan bahagian hendaklah diadakan setelah bahagian-bahagian cukup tempoh setahun penubuhannya.
Tarikh paling awal bahagian PPBM didaftarkan dengan mendapat Sijil Pendaftar Pertubuhan ialah pada 24 Julai 2017.

“Bermakna, bahagian PPBM yang paling awal didaftarkan akan genap tempoh setahun penubuhannya pada 24 Julai 2018.

“Selepas itu barulah boleh diadakan persidangan bahagian untuk memilih perwakilan ke Perhimpunan Agung,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Datuk Nur Jazlan Mohamed

Justeru Dr Shaharuddin berkata, sebagai seorang Timbalan Menteri di sebuah kementerian yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal pertubuhan, Nur JazlaN sepatutnya bersikap lebih profesional.

Nur Jazlan ujarnya lagi, sepatutnya boleh memperolehi fakta dengan mudah daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) jika beliau membuat semakan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Menurut Fasal 29 Perlembagaan PPBM, Majlis Pimpinan Tertinggi mempunyai kuasa untuk membuat tafsiran mengenai perlembagaan parti, dan tafsiran yang diberikan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi adalah muktamad.

“Tatacara dan kaedah pelaksanaan Perhimpunan Agung PPBM adalah dilaksanakan menurut tasiran perlembagaan yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM. Perkara ini telah dimaklumkan secara bersurat kepada Pendaftar Pertubuhan sebelum Perhimpunan Agung PPBM diadakan.

“Malah, PPBM telah meminta nasihat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia berhubung dengan tatacara mengadakan Perhimpunan Agung PPBM menerusi beberapa pertemuan dan surat, namun JPPM tidak memberikan sebarang nasihat yang jelas, melainkan sepucuk surat bertarikh 19 Disember 2017 yang meminta PPBM melaksanakan Perhimpunan Agung menurut perlembagaan parti.

“PPBM telah menjawab surat tersebut dengan memaklumkan kepada pihak JPPM bahawa tatacara dan kaedah Perhimpunan Agung adalah teratur menurut tafsiran Perlembagaan PPBM yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi,” terangnya.

Tegas Dr Shahruddin lagi, Nur Jazlan tidak berhak untuk mentafsir perlembagaan PPBM.

“Tidak ada peruntukan di dalam perlembagaan PPBM mahupun Akta Pertubuhan 1966 yang memberi kuasa kepada Timbalan Menteri untuk mentafsir perlembagaan parti.

“Justeru, andaian beliau mengenai maksud perlembagaan PPBM tidak mempunyai apa-apa kesan dari segi perundangan terhadap PPBM. Ini satu fakta yang beliau mesti tahu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh menjejaskan kredibiliti beliau sendiri,”ujarnya.

Dalam tempoh setahun ini, PPBM telah berjaya menubuhkan 137 bahagian di seluruh negara yang berdaftar dengan RoS. Sebanyak 21 bahagian lagi masih dalam proses pendaftaran dengan Pendaftar Pertubuhan.

Justeru ujarnya aalah tiidak benar dakwaan Nur Jazlan bahawa PPBM tidak mempunyai sokongan di peringkat akar umbi.

“Yang tiada sokongan sekarang ialah Umno, kerana rakyat khususnya orang Melayu, semakin kecewa dengan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin UMNO dan kegagalan parti itu untuk membela nasib rakyat yang sedang dihimpit dengan berbagai masalah dan bebanan kos sara hidup.

“Saya ingin mengingatkan Nur Jazlan supaya bertindak lebih profesional dalam menjalankan tugasnya sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

“Hak berpersatuan adalah suatu hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, dan PPBM adalah sebuah parti politik yang sah serta perjalanannya adalah mengikut lunas undang-undang.

“Adalah menjadi hak ahli-ahli PPBM untuk bergiat di dalam parti tanpa sebarang ugutan.

“Dalam sebuah negara demokrasi, undang-undang sepatutnya melindungi hak rakyat, dan kuasa kerajaan dibatasi oleh undang-undang.

“Janganlah pula kerana Umno berada dalam keadaan yang cemas dan lemas pada waktu ini, undang-undang dan kuasa kerajaan disalahgunakan untuk mengugut PPBM serta menyekat hak ahli-ahli untuk bergiat di dalam parti pilihan mereka.

“Ini adalah satu pencabulan terhadap hak kebebasan berpersatuan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan bertentangan dengan amalan demokrasi ujarnya.

Semalam Bernama melaporkan Nur Jazlan yang juga Ketua Umno Bahagian Pulai itu berkata rakyat diharap tidak tertipu dengan helah pemimpin Bersatu yang mengatakan mereka mempunyai sokongan akar umbi dan cuba menipu rakyat dengan melanggar perlembagaan sendiri.

Nur Jazlan dipercayai berkata demikian susulan kenyataan dibuat oleh bekas Naib Presiden Bersatu Datuk Hamidah Osman mempertikaikan perhimpunan agung tahunan parti itu yang berlansung di Shah Alam itu.

Hamidah mempersoalkan cara penganjuran perhimpunan agung PPBM yang disifatkannya sekadar ‘melepaskan batok di tangga’ kerana tidak mengikut tatacara perlembagaan parti.

Menurut Hamidah, mengikut Perlembagaan PPBM Fasa 12 untuk Perhimpunan Agung, di bawah klausa 12.2.3, wakil yang dipilih oleh persidangan tahunan bahagian adalah sebanyak seorang wakil bagi setiap 300 anggotai dengan syarat bilangan wakil tidak melebihi tujuh orang daripada satu bahagian.

Namun katanya, PPBM tidak membuat mesyuarat di peringkat bahagian dan tergesa-gesa melakukan sesuatu serta melanggar perlembagaan mereka sendiri.