Malaysia Dateline

Shamsul Anuar letak jawatan menteri tenaga

Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan perletakan jawatannya sebagai Menteri Tenaga Dan Sumber Asli sebentar tadi.

Ahli Parlimen Lenggong dari Umno itu meletakkan jawatannuya selepas mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti.

“Pertama, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana saya diberikan peluang berkhidmat sebagai Menteri Tenaga Dan Sumber Asli dan pastinya pimpinan Umno yang mencadangkan saya sebagai Menteri kerajaan Persekutuan.

“Mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti, maka sebagai ahli Umno yang patuh dan setia kepada parti, saya dengan ini meletak jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Shamsul berkata, selepas ini beliau akan memberikan fokus kepada tugas sebagai Ahli Parlimen Lenggong dan membantu memperkuat parti dalam menghadapi situasi politik yang semakin mencabar.

Pada Perhimpunan Agung Umno Mac lalu, perwakilan parti dengan sebulat suara menyokong usul untuk menarik diri dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekaligus menggesa peletakan jawatan menteri, dan timbalan menteri Umno yang dilantik.

Dalam ucapan penggulungan yang ringkas bagi menutup tirai Perhimpunan Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan usul untuk memutuskan hubungan dengan PN diluluskan sebulat suara oleh perwakilan.

Bagaimanapun sehingga awal bulan ini, perletakan jawatan menteri ini merupakan yang pertama dilakukan selepas Umno pada bulan lalu sekali lagi memutuskan untuk menarik sokongannya dari Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.