Malaysia Dateline

Shamsul gesa Ismail Sabri henti serang Anwar

PKR yakin bahawa perbincangan bersama pemimpin Umno yang masih di peringkat awal tidak mungkin akan menjejaskan kekuatan Umno, kata Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau berpendapat PKR menghargai kebijaksanaan sebahagian besar pemimpin Umno sedia ada tetapi kenyataan-kenyataan pemimpin seperti Naib Presiden Umno, Datuk Ismail Sabri Yaakob akan merugikan parti itu.

Sehubungan itu, Shamsul menggesa Ismail agar berhenti menyerang dan mempersalahkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ramai dari kalangan ahli Umno menyedari bahawa parti tersebut dibayangi oleh masa lampau parti yang dilemahkan oleh korupsi, pertembungan dalaman dan ketamakan individu terhadap kuasa.

“Oleh itu, daripada mencuba menyalahkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk segala masalah Umno, Datuk Seri Ismail Sabri sepatutnya mengakui bahawa sebahagian ahli Umno sedar satu-satunya jalan untuk terus bertahan dan kekal relevan adalah dengan mewujudkan kerjasama dengan parti lain atas dasar nilai yang dikongsi bersama.

“Apakah nilai-nilai tersebut? Nilai tersebut adalah nilai yang selaras dengan aspirasi rakyat yang didasari oleh perpaduan, demokrasi, kemakmuran bersama dan mewujudkan kerajaan yang menyebarluaskan integriti dan menegakkan tadbir urus yang baik,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, katanya lagi, ahli Umno turut menyedari bahawa kerjasama parti bersama Bersatu hanyalah didasari oleh keinginan Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal berkuasa atas apa cara sekalipun.