Malaysia Dateline

Shamsul Iskandar dilantik bendahari CPA

Anggota Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) telah mengesahkan pelantikan Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai Bendahari CPA yang baharu.

Pelantikan itu disahkan semasa Perhimpunan Agung ke-64 CPA di Uganda yang berlangsung dari 22 hingga 29 Sept.

CPA dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Bernama berkata bendahari, yang merupakan ahli Persatuan yang dicalonkan oleh Jawatankuasa Eksekutif, dilantik selama tiga tahun oleh Perhimpunan Agung dan bekerjasama dengan Setiausaha Agung CPA dan Sekretariat Ibu Pejabat CPA untuk memantau kewangan persatuan.

“Bendahari CPA juga menyertai lembaga Pemegang Amanah persatuan,” kata kenyataan itu.

Shamsul Iskandar yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya kini merupakan Pengerusi CPA Cawangan Malaysia dan ahli lembaga Rangkaian Parlimen mengenai Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Rangkaian Parlimen adalah platform untuk ahli parlimen di seluruh dunia memperjuangkan usaha meningkagtkan akauntabiliti dan ketelusan dalam institusi kewangan antarabangsa dan pembiayaan pembangunan multilateral.– BERNAMA