Shamsul Iskandar persoal motif Hishamuddin mahu bawa pulang Jho Low

Shamsul Iskandar persoal motif Hishamuddin mahu bawa pulang Jho Low

Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (Gambar) kurang senang dengan tawaran Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk mencari dan membawa pulang ahli pernigaan kontroversi Low Taek Jho dari China bagi menyelesaikan kes 1MDB.

Beliau yang juga ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, perkara ini akan menimbulkan isu syak wasangka.

“Kita perlu mengkaji tawaran ini apakah sifatnya kerana kita sedia maklum sekarang ini ramai pemimpin Umno dibawa ke mahkamah dan dituduh atas kesalahan rasuah dan penyelewengan,

“Kita tidak mahu ada sebarang persepsi bahawa tawaran itu bertujuan untuk lepaskan diri dengan perkara-perkara yang bersangkutan dengan kerajaan yang lalu,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Jelas Shamsul lagi, tidak ada keperluan untuk Hishammddin menawarkan diri dalam keadaan kerajaan sudah mempunyai pihak yang ditugaskan untuk menjaga hubungan Malaysia dan China.

“Saya tidak nampak sebenarnya keperluan untuk perkara ini ditawarkan oleh beliau kerana kalau kita lihat hubungan negara dengan negara sudah pasti huhungan pihak keselamatan kita dengan pihak keselamatan negara china itu tentunya selari dengan hasrat kedua-dua pemimpin negara ini.

“Kalau nak digerakkan jentera keselamatan di sana bagi tujuan membantu kes ini sudah pasti negara kita boleh menghantar pasukan untuk menjejaki Jho Low dan tidak perlu kepada tawaran Hishamuddin cuma dalam konteks ini kita perlu mengkaji apa sebenarnya motif di sebalik tawaran tersebut,” katanya.

Shamsul berkata demikian ketika mengulas kenyataan Hishammuddin semalam yang menawarkan diri untuk mencari Jho Low.