Shazni bebas, perlu hadir mahkamah 20 April

Shazni bebas, perlu hadir mahkamah 20 April

Naib ketua pemuda Amanah Nasional Shazni Munir Mohd Ithnin yang direman selama dua hari dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Shazni direman bermula Isnin lalu bagi membantu siasatan berhubung artikelnya dalam sebuah portal atas talian yang didakwa bersifat menghasut.

Menurut peguam yang mewakili beliau, Wan Anuar Wan Ibrahim, Shazni diarahkan hadir ke Mahkamah Jalan Duta pada 20 April ini.

“Shazni dibebaskan kira-kira jam 12.40 tadi dengan jaminan polis dan perlu hadir ke mahkamah pada 20 April ini.

“Tiada apa-apa syarat dikenakan sebelm tarikh 20 April,” katanya kepada Malaysia Dateline selepas mengiringi Shazni keluar dari lokap Jinjang.

Shazni ditangkap polis di perkarangan IPD Dang Wangi pada jam 2.30 petang Isnin lalu di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 1244 Kanun Keseksaan.

Terdahulu beliau dipanggil bagi memberi keterangan di IPD Dang Wangi pada jam dua petang rentetan arahan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di twitter Sabtu lalu.

Ia berkaitan satu artikel Shazni yang disiarkan sebuah portal atas talian yang didakwa bersifat menghasut.

Bagaimanapun menurut Shazni arahan tangkapan itu hanya berdasarkan kenyataan yang telah dimanipulasi daripada kenyataannya yang asal.

TAGS