Malaysia Dateline

Sheikh Abdullah Bayyah pendokong tegar konsep negara Rahmah

Sheikh Abdullah bin Mahfudh Ibn Bayyah, berumur 84 tahun dan berasal dari Mauritania telah diangkat sebagai Tokoh Antarabangsa Maal Hijrah 1441H sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Putrajaya pada 1hb September 2019. Pemilihan beliau untuk anugerah berprestij ini tentulah mempunyai signifikannya yang tersendiri.

Nama Sheikh Abdullah Bayyah mungkin tidak begitu popular di negara kita sebelum ini berbanding Sheikh Yusuf Qardhawi dan Sheikh Ali Tantawi, tetapi sosok tubuh ini sebenarnya sudah amat dikenali di kalangan para ilmuan dan sarjana Islam di peringkat antarabangsa.

Beliau terkenal sebagai seorang pendokong tegar kepada keharmonian dan keamanan di kalangan penduduk dunia. Beliau tegas menolak sebarang bentuk keganasan, walaupun ketika berlakunya konflik. Beliau juga kurang bersetuju dengan pandangan yang mengatakan bahawa keamanan hanya akan wujud setelah wujudnya keadilan. Bagi beliau, keamanan adalah kerangka awal yang utama di dalam usaha kita memperjuangkan keadilan.

Pada 20hb Ogos 2019, Sheikh Abdullah Bayyah dijemput berucap di dalam Konvensyen Agama-Agama Ke Arah Kemanan Dunia Ke-10 di Lindau, Jerman. Di dalam ucapannya beliau menyebut, “tiada masa depan untuk hanya sebahagian dari kita tanpa kita memikirkan masa depan untuk semua kita”. Beliau menambah lagi, “Tidak ada lagi Bahtera Nabi Nuh. Bahtera kita sekarang adalah bahtera kesatuan dan kerjasama di kalangan kita dari pelbagai hasrat, anutan agama, dan kebijaksanaan”.

Ini menjelaskan pendirian beliau yang begitu inklusif terhadap kepelbagaian yang wujud di dalam kehidupan manusia. Ini sangat bertepatan dengan usaha menubuhkan negara rahmah untuk semua.

Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa naratif kehidupan beragama yang dibawa oleh Sheikh Abdullah bin Bayyah mempunyai persamaan dari segi fikrah dan idea dengan pimpinan Parti Amanah Negara dan begitu sedondon pula dengan konsep Islam Rahmatan Lil Aalamin yang sedang dipelopori oleh pentadbiran kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan.

Malah inilah konsep yang cuba diketengahkan selama ini oleh Menteri JPM Bahagian Agama, YB Datuk Seri Dr Mujahid sepanjang beliau menerajui potfolio kementeriannya. Sememangnya dari awal beliau menegaskan bahawa penghayatan kehidupan beragama dalam konteks dan realiti Malaysia mestilah diasaskan kepada pendekatan yang inklusif, wataniyyah, rahmah, progresif, menepati maqasid Syariah, dan harmoni.

Dari segi menolak keganasan dan takfiri, Sheikh Bayyah dan Dr Mujahid sememangnya senada dan seirama. Sheikh Bayyah telah secara tegas membuat fatwa menyatakan perjuangan ISIS sebagai bercanggah dengan ajaran Islam serta menyeru mereka bertaubat. Dr Mujahid juga adalah tokoh yang diketahui tidak akan berkompromi dengan segala bentuk keganasan dan amalan takfiri.

Kata Sheikh Bayyah lagi, “ Negara Khalifah (seperti dakwaan ISIS) adalah satu khayalan dan membunuh manusia untuk tujuan itu tiada justifikasinya di dalam ajaran Islam”.

Sheikh Abdullah bin Bayyah bukan sahaja berilmu, tetapi juga mempunyai bacaan yang tajam terhadap perkembangan semasa. Beliau juga mempunyai keperibadian yang begitu mempesonakan. Bicaranya lembut, wajahnya sentiasa dihiasi senyuman, dan bahasanya yang digunakan di dalam menyampaikan pandangannya juga lunak.

Sheikh Yusuf Qardhawi memuji beliau sebagai seorang yang berilmu dan bersifat terbuka, mempunyai keseimbangan yang tepat dalam banyak perkara, dan sentiasa menjaga maruah dirinya dan orang lain. Beliau menguasai fiqh pelbagai mazhab dan pada masa yang sama berpegang dengan mazhab Maliki, sepertimana juga masyarakat Islam di kebanyakan negara-negara utara Afrika. Beliau berpegang dengan manhaj aqidah salafi tetapi juga pada masa yang sama seorang ahli sufi.

Dalam bahasa Al-Qardhawi menyebut; “padanya terhimpun asolah dan kontemporari”.

Di peringkat antarabangsa, Sheikh Abdullah Bayyah banyak terlibat di dalam usaha mempromosi keamanan, dialog antara agama, dan kehidupan bersama secara harmoni (fiqh at-ta’ayush).

Di Abu Dhabi, beliau mengasaskan dan menjadi Presiden ‘Forum Mempromosi Keamanan Di Dalam Masyarakat Islam’. Beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa Eksekutif pertubuhan ‘Agama Untuk Keamanan’ yang berpusat di New York. Bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pernah meminjam kata-kata hikmat Sheikh Abdullah Bayyah ketika berucap di Perhimpunan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sehingga kalimah “We must declare war against war so the outcome would be peace upon peace” itu tersebar dan terkenal di serata dunia.

Terdapat berbelas-belas pertubuhan di peringkat antarabangsa yang beliau terlibat secara aktif menunjukkan suara dan pandangan Syeikh Abdullah Bayyah terhadap perkembangan dunia yang sentiasa bertunjang kepada keamanan, keharmonian, kerahmatan, dan kasih sayang sememangnya sedang didambakan oleh masyarakat dunia samada di kalangan masyarakat Islam mahukan masyarakat bukan Islam.

Pendekatan pentadbiran baru kerajaan Malaysia yang sememangnya secocok dengan pandangan dan buah fikiran Sheikh Abdullah Bayyah bakal melakar suasana aman dan harmoni buat negara Malaysia. Apa yang jelas naratif kehidupan beragama yang bertunjangkan kepada permusuhan, kebencian, sifat eksklusif, dan perkauman sudah tidak lagi relevan bukan sahaja di negara kita, malah di seluruh dunia.