Sheikh Salman menang tanpa bertanding pemilihan Presiden AFC

Sheikh Salman menang tanpa bertanding pemilihan Presiden AFC

Presiden Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) Sheikh Salman Khalifa menang tanpa bertanding pada Sabtu selepas lawannya menarik diri daripada pemilihan jawatan itu, lapor agensi berita China Xinhua.

Salman, yang tidak hadir susulan kematian ibunya, telah dilantik sebulat suara tanpa melibatkan pengundian delegasi di Kongres AFC di sini.

Beliau menang selepas Saoud A Aziz M A Al-Mohannadi dari Qatar dan Mohamed Khalfan Matar Saeed Alromaithi dari Emiriah Arab Bersatu menarik diri.

Saoud dan Mohamed Khalfan pada asalnya telah dicalonkan untuk bertanding dalam pemilihan jawatan tertinggi itu bagi penggal 2019-2023.

Dalam ucapannya kepada kongres, Presiden FIFA Giovanni Infantino mengucapkan tahniah kepada pemilihan semula Salman.

Sementara itu, Salman dalam ucapannya yang dibacakan penyandang anggota majlis AFC Praful Patel, berkata AFC telah meraih pelbagai kejayaan dan badan itu akan menyokong FIFA sebagai pusat sukan yang bergerak ke Asia pada tahun-tahun akan datang.

“Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, Asia akan menjadi pusat bola sepak dunia. Sukan Olimpik akan berlangsung di Tokyo pada musim panas akan datang diikuti Piala Dunia FIFA dua tahun selepas itu di Qatar pada 2022,” katanya.

Sheikh Salman, dari Bahrain, pertama kali dipilih sebagai presiden AFC pada 2013 bagi baki tempoh penggal bekas presiden Mohammed bin Hammam, yang diharamkan oleh FIFA seumur hidup kerana rasuah. Beliau dipilih semula pada 2015 selepas menang tanpa bertanding.- BERNAMA