Malaysia Dateline

Sheikh Umar berharap pengundi Paloh terus beri kepercayaan

Calon Pakatan Harapan N30 DUN Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali berharap agar pengundi di Paloh memberikannya peluang sekali lagi untuk terus berkhidmat kepada rakyat di kawasan tersebut.

Sheikh Umar yang juga dikenali sebagai ‘Bro Shake’ dalam kalangan masyarakat setempat berkata, beliau sentiasa menganggap dirinya sebagai seorang anak, sahabat, jiran tetangga dan juga rakan setia yang sedia berkhidmat untuk semua tanpa mengira perbezaan latar belakang.

“Walaupun banyak yang telah dilakukan di Paloh, saya sedar bahawa saya bukanlah seorang ‘malaikat’.
“Pasti ada kelemahan di sana sini yang tak dapat dielakkan sepanjang perkhidmatan saya.

Sheikh Umar berharap pengundi Paloh terus beri kepercayaan

“Namun dengan keikhlasan dan kerja kuat, saya telah cuba sedaya upaya untuk lakukan yang terbaik buat rakyat di DUN Paloh tanpa mengira perbezaan latar belakang,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Sheikh Umar, semasa Perintah Kawalaan Pergerakan (PKP) Covid-19, sekurang-kurangnya 3000 bakul makanan telah diedarkan ke seluruh kawasan dalam DUN Paloh.

Selain itu, katanya, inisiatif-inisiati lain termasuk sumbangan barangan basah, pemberian kit kebersihan diri dan gerak kerja memudahkan proses vaksinasi bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah dilaksanakan dengan jayanya.

“Bahkan, semasa wabak Covid-19 memuncak, saya telah mengambil inisiatif menubuhkan pasukan Unit Tindak untuk menjalankan kerja-kerja sanitasi awam di seluruh kawasan Paloh.

“Pasukan ini telah bergerak kerja secara sukarela dan memberikan perkhidmatan dengan percuma,” jelasnya.