Malaysia Dateline

Sheikh Yusuf Al-Qaradawi sahabat, tokoh rujukan saya sejak zaman mahasiswa-Anwar Ibrahim

Beberapa pemimpin termasuk dalam kalangan parti politik turut bersedih menerima perkhabaran kematian ulama tersohor, Sheikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi, tengah hari semalam waktu Qatar, antaranya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Melalui media sosial, mereka menyifatkan pemergian tokoh yang berasal dari Mesir itu satu kehilangan besar kepada umat Islam.

Bagi Anwar Ibrahim pemergian Allahyarham Sheikh Yusuf Al-Qaradawi amat terkesan buatnya yang sekian lama berhubung apatah lagi menjadikan permata dunia itu sebagai tokoh rujukan semenjak zaman mahasiswa lagi.

“Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi adalah sahabat dan tokoh rujukan saya sejak zaman mahasiswa ketika memimpin gerakan Islam.

“Beliau sentiasa menyeru kepada aliran wasatiyyah dan menentang keras aliran ghuluw dan mutaa’ssibin,” kata Anwar.

Jutseru katanya, kehilangan beliau salah seorang mujaddid ulung dunia Islam sepanjang abad lalu ternyata mengesankan umat.

“Saya juga sering mengundangnya ke Malaysia termasuk sewaktu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Doa dan surat yang sering diutus tatkala dalam kesulitan begitu mengesankan dan memperteguh semangat dan idealisme saya dalam perjuangan.

“Saya secara peribadi amat merasai kehilangannya, dan sumbangan serta legasi yang ditinggalkan ternyata membekas dalam setiap sanubari kaum Muslimin.

“Semoga Allah SWT memberi tempat dan ganjaran yang teristimewa buat beliau,” ujar Anwar.

Sheikh Yusuf Al-Qaradawi telah kembali ke rahmatullah pada usia 96 tahun.

Cendekiawan Islam dari Mesir ini meninggalkan legasi penulisan yang kini menjadi rujukan kepada umat Islam di serata dunia.

Baca juga: http://Permata dunia kembali ke rahmatullah

Baca juga: Pelajar dan belia dijangka jadi sasaran baharu ‘scammer’