Penyanyi, Shila Amzah kembali mencuri perhatian ramai selepas memuat naik satu rakaman video ‘tour’ rumah banglo miliknya di akaun Instagram.
Menerusi rakaman tersebut, penonton dapat melihat persekitaran daripada dalam banglo terletak di Hulu Langat, Selangor yang telah dikosongkan dan dibersihkan itu.
Difahamkan, pemilik nama sebenar Nurshahila Amir Amzah itu membayar syarikat perkhidmatan pembersihan untuk mencuci kediaman tersebut sebelum menjualnya.
Ternyata rumah banglo milik penyanyi berusia 33 tahun itu memang begitu besar dan tidak dinafikan kos penyelenggaraannya tentunya melibatkan kos yang sangat tinggi.
Pelantun lagu Patah Seribu itu memaklumkan bahawa proses pembersihan kediaman tersebut amatlah memenatkan ditambahkan pula kesemua bilik mempunyai tandas.
“Alhamdulillah, akhirnya boleh buat banglo ‘tour’. Terima kasih syarikat pembersihan sebab cucikan rumah Sha. Kalau Sha dan Ubah sahaja yang buat memang jenuhlah,” katanya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna media sosial mengakui bahawa banglo tersebut memang terlalu besar untuk didiami oleh ahli keluarga Shila.
Ramai juga penonton bersetuju dengan keputusan Shila menjual banglo itu selepas melihat video tersebut kerana berpendapat kos menjaganya memang tampak mahal.
“Ya Allah, besarnya rumah. Ini memang jenuh nak menjaga dan mencuci bagai. Semoga dipermudahkan segala urusan Shila,” kata seorang pengguna yang terkejut melihat video itu.
“Besar gila. Patutlah merentan bila kena pindah kluar. Tetapi jenuhlah kalau kemas nak bagi bersih. Kalau banjir memang masaklah.” Kongsi pengguna yang tidak hairan keluarga Shila merasa marah bila ‘dihalau’.
Terdahulu, konflik antara Shila dengan keluarganya bermula selepas adiknya, Syada mendakwa telah dihalau keluar daripada kediaman yang diduduki bersama ibunya.
Penyanyi kelahiran Kuala Lumpur itu bagaimanapun memaklumkan banglo itu perlu dijual kerana terlalu besar untuk dijaga namun akan membeli rumah baharu buat ibunya.
Adik lelakinya iaitu Syafiq turut mengundang perhatian ramai apabila menuduh Shila melupakan segala jasa dan pengorbanan ibu dan bapanya terhadapnya selama ini.