Malaysia Dateline

Showcase#KitaMalaysia di Kuching sampaikan mesej dasar kerajaan

Preview Showcase #KitaMalaysia anjuran Jabatan Penerangan Malaysia, Sarawak yang menggabungkan pelbagai bentuk persembahan seperti nyanyian, tarian dan lakonan pendek (sektsa)berupaya menyampaikan mesej serta maklumat berkaitan dasar dan inisiatif kerajaan.

Program tersebut telah dianjurkan di tapak parkir Jabatan Penerangan Sarawak, di Kuching, malam tadi telah dikendalikan oleh Cawangan Mini PENTARAMA Jabatan Penerangan Sarawak.

Ia merupakan program tahunan yang menjadi medan penambahbaikan persembahan konsert serta mesej dan maklumat yang disampaikan.

Antara objektif penganjuran program ialah untuk menggalakkan sesi komunikasi dua hala di antara pihak Cawangan Mini PENTARAMA serta semua anggota Jabatan serta agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM)yang dijemput di samping menggalakkan semangat patriotisme dan meningkatkan semangat jati diri di kalangan kakitangan.

Persembahan telah berlangsung selama hampir satu jam setengah itu menampilkan seramai 10 orang artis dari PENTARAMA Jabatan Penerangan Sarawak dengan dendangan sebanyak 19 buah lagu dalam pelbagai bahasa seperti Melayu, Inggeris, Iban dan Mandarin.

Sebahagian daripada lagu-lagu yang telah diperdengarkan termasuklah “Overture + Malaysia, Ranggi Metropolis, Senorita, Akai Akai, Medley Perpaduan, Perjuangan, Malaysia Bersih dan lain-lain lagu yang bertemakan #KitaMalaysia.

Selain persembahan nyanyian, terdapat beberapa persembahan berupa sketsa pendek yang memberi fokus kepada isu-isu semasa dan inisiatif kerajaan seperti COVID-19, penggunaan media sosial terutamanya berkaitan penyebaran berita palsu, mySalam, Rukun Negara dan isu kebersihan.

Seramai 100 tetamu jemputan telah hadir memeriahkan program yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Sarawak, pengurusan tertinggi dan kakitangan Jabatan Penerangan Sarawak serta para pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)dan Sekolah Seni Malaysia Sarawak.

Melalui penganjuran program seumpama ini, Jabatan Penerangan Sarawak berharap agar ia mampu menjadi medium penghubung kepada golongan sasaran dan kerajaan dalam mencari idea penyelesaian dalam sesuatu isu dan menerapkan pengetahuan berkaitan hal-hal berbangkit kepada golongan sasaran.

Ini memandangkan penerangan secara bersemuka masih relevan di kalangan masyarakat hari ini.

Timbalan Pengarah Penerangan Negeri Sarawak, Aziz Abdul Rahman telah hadir sebagai tetamu kehormat pada malam tadi.

Turut hadir ialah Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sarawak, Adiman Ajem, Pengurus Besar Telekom Malaysia (TM) Sarawak, Jafer Sadig Abdull Lathiff, wakil Pengarah Jabatan Penyiaran (RTM) Sarawak, Abdil Khalid Suud, wakil Pengurus Pos Malaysia Berhad Sarawak, Baing Kian serta ketua-ketua jabatan lain.