Pelawak yang juga ahli perniagaan, Shuib meluahkan rasa terharu apabila isteri tersayang menunaikan puasa sunat hari ini supaya urusannya di mahkamah dipermudahkan.
Menerusi hantaran dimuat naik di laman Instagram, Shuib memaklumkan bahawa dirinya menyangka bahawa isteri iaitu Watie Hanafiah berpuasa untuk mengurangkan berat badan atau ‘diet’.
Namun pemilik nama sebenar Shahmira Muhamad itu merasa terharu apabila mengetahui niat sebenar isterinya sebelum mengucapkan terima kasih kerana wanita terbabit sentiasa berada di sisinya.
“Hari ini (Khamis) Mummy (Watie) puasa sunat, katanya. Apabila ditanya kenapa puasa sunat, ‘Diet ke?’. Mummy jawab, ‘Taklah, puasa sunat sebab nak minta dekat Allah semoga dipermudahkan urusan suami saya hari ini’.
“Amin ya Rab. Terima kasih selalu ada dengan Daddy (Shuib). Saya cintakan awak,” katanya yang turut memuat naik gambar bersama Watie atau nama sebenarnya, Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah di perkarangan mahkamah.
Dalam perkongsian yang sama, Shuib turut menyifatkan perkara yang berlaku hari ini sebagai satu pelajaran dan ujian dalam kehidupan selain berharap agar urusannya dipermudahkan Allah.
Terdahulu, usahawan berusia 40 tahun itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini di atas enam pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM1.6 juta, tahun lalu.
Turut didakwa dalam prosiding tersebut masing-masing atas enam pertuduhan sama adalah pengarah bersama, Koh Choon Guan, 33, dan syarikat mereka, Bubblebee Sdn Bhd (Bubblebee).
Shuib dan Choon Guan yang turut mewakili Bubblebee selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan berasingan dikemukakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.
Mengikut semua pertuduhan itu, mereka didakwa gagal membayar cukai perkhidmatan dengan jumlah keseluruhan RM1,191,153.78 dan penalti RM454,000 bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember tahun lalu.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Cawangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, Selangor.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26(8) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dibaca bersama Seksyen 78 akta sama dan boleh dihukum bawah seksyen dan akta sama.
Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.
Mengikut Seksyen 26(10) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 serta Seksyen 69(1) akta sama, mereka turut dikehendaki membayar penalti berjumlah RM453,969.42 kepada Ketua Pengarah Kastam.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKDM, Wan Abdul Rahim Wan Mahamood dan Nur Amalina Ahmad Nazeri manakala semua OKS diwakili peguam, Muhammad Firdaus Shaik Alauddin.
Semasa prosiding itu berlangsung, pegawai pendakwa mencadangkan agar setiap OKS diberi ikat jamin RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan alasan cukai yang belum dibayar adalah tinggi iaitu berjumlah RM1.6 juta.
Muhammad Firdaus yang mewakili semua OKS bagaimanapun berkata bahawa anak guamnya sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sepanjang kes itu disiasat selain tiada keadaan mendesak sehingga memerlukan mahkamah menetapkan ikat jamin.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rasyihah membenarkan Shuib dan Koh diberi ikat jamin RM4,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan tarikh 18 Disember ini bagi sebutan semula kes.
Syarikat Bubblebee, Shuib dan juga Koh sebelum ini telah didenda RM17,500 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam, pada Isnin atas tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tahun lalu.
Hukuman tersebut dijatuhkan ke atas Shuib dan Koh selepas mereka mengaku bersalah di atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ameera Mastura Khamis.
Baca juga: Gagal bayar caruman PERKESO, Bubblebee didenda RM17,500
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio