Shuib hilang sabar, dituduh ‘tunggang’ arwah Siti Sarah lepas jemput bekas banduan kerat 8

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelawak yang juga usahawan, Shuib hilang sabar apabila seorang individu bertindak menuduhnya ‘menunggang’ kematian arwah isterinya iaitu penyanyi, Siti Sarah.

Menerusi satu hantaran di platform Instagram, Shuib atau nama sebenarnya Shamira Muhamad tampil mempersoal kenyataan individu terbabit mengenai isu ‘menunggang’ arwah isterinya itu.

Dalam hantaran yang sama, pelawak berusia 40 tahun itu turut tertanya-tanya adakah dirinya memang langsung tidak dibenarkan untuk bercakap mengenai arwah isterinya sendiri.

“Pagi-pagi ini mata jadi cerah apabila nampak hantaran macam ini. Jom kita bincangkan sama-sama, apa maksud awak? Kalau saya berkongsi tentang arwah isteri saya, itu dikira ‘menunggang’ ya bagi awak?

“Maaf saya nak tanya awak. Saya memang tak boleh bercakap tentang arwah isteri saya ke? Apabila bercakap, itu dikira ‘menunggang’ arwah isteri saya ke? Jawab soalan saya!,” soal Shuib dalam hantaran itu.

Difahamkan, kenyataan seperti itu timbul selepas Shuib menjemput bekas banduan dikenali sebagai Abah Hayat dalam program audio siar atau ‘podcast’ kendaliannya iaitu Dol’s Podcast.

Keputusan itu telah menuai kritikan daripada orang ramai yang menyifatkan kehadiran bekas banduan berkenaan di dalam sesi podcast tersebut boleh membawa pengaruh negatif kepada masyarakat.

Walau bagaimanapun, individu yang dimaksudkan Shuib itu malah bertindak keterlaluan ekoran mengaitkan sesi podcast berkenaan dengan isu ‘menunggang’ kematian arwah Siti Sarah.

“Shuib kot. Isteri meninggal dunia pun dia tunggang. Apatah lagi bekas banduan kerat lapan,” kata individu terbabit dalam satu hantaran di platform media sosial yang kini sudah dipadam.

Dalam pada itu, Shuib turut berkongsi beberapa tangkap layar di Instagram Story miliknya memaparkan perbualan antara dirinya dengan individu terbabit menerusi pesanan secara terus (DM).

Berdasarkan tangkap layar tersebut, individu itu dilihat cuba menghantar permohonan maafnya kepada Shuib namun ahli perniagaan berkenaan tidak menerimanya dengan mudah.

Sebaliknya Shuib bertanyakan beberapa soalan termasuk meminta individu terbabit untuk bersemuka dengannya sekiranya tidak mahu berhadapan dengan tindakan undang-undang.

“Boleh beritahu saya apakah alasan awak untuk menulis hantaran ‘tunggang’ arwah isteri saya? Awak sudah berkahwin? Sudah pernah kehilangan orang tersayang? Pernah hilang ahli keluarga?.

“Apa perasaan kalau orang cakap awak tunggang kisah kematian ahli keluarga sendiri? Saya pantang apabila orang kaitkan arwah, bercakap buruk tentangnya. Awak faham?

“Awak tahukan saya pernah saman orang di mahkamah hanya kerana hantaran bodoh?.” Soal Shuib sebelum individu terbabit menjawab bahawa dirinya mengetahui mengenai kes saman tersebut.

Baca juga: Bakal tunai umrah untuk kali ke-10, Zoey Rahman tak dabik dada, sedar diri banyak dosa