Malaysia Dateline

Shukri pentingkan integriti, pernah ajukan dua nama kepada PM

Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull menekankan kepentingan integriti dalam dirinya antaranya mengotakan janji yang dibuat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kembali ke SPRM bagi menerajui agensi itu bagi tempoh setahun sahaja.

Katanya beliau “mengenakan syarat” ketika bersetuju menerajui SPRM untuk tempoh setahun dalam pertemuannya dengan Dr Mahathir pada 14 Mei 2018 selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lepas dengan memberikan fokus untuk menyelesaikan dua isu utama.

Dua isu itu ialah menyelesaikan siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd dan menyelesaikan isu dalaman “berpuak-puak” serta berpecah belah dalam SPRM, dimana beliau yakin dapat menyelesaikannya dalam tempoh enam bulan ke setahun, katanya.

Mohd Shukri berkata beliau cukup menjaga dan mementingkan integritinya dan tidak pernah menyalahgunakan “satu sen duit kerajaan” pun dalam tempoh 33 tahun perkhidmatannya dalam perkhidmatan awam.

“Sejak saya masuk kerja sampai sekarang saya uphold integriti saya,” katanya dalam pertemuan bersama media di sini hari ini.

Mohd Shukri, 58, memendekkan kontraknya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang sepatutnya berakhir pada 17 Mei 2020, yang dilakukan dengan ikhlas setelah misinya untuk menyelesaikan dua isu utama tersebut tercapai.

Shukri juga berkata, beliau memilih 2 individu untuk diajukan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menganggap “orang dalam” SPRM lebih memahami kerja dan mampu memudahkan operasi yang dijalankan oleh agensi itu tanpa mendedahkan calon penggantinya kepada media.

“Saya tak boleh dedah nama. Tapi mereka tahu nama-nama mereka dimajukan kepada perdana menteri,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Putrajaya, hari ini.

Katanya, beliau menyerahkan nama tersebut kepada Dr Mahathir Mohamad pada Mac lalu sambil ditemani bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim Mohamed.

“Saya bawa bersama Abu Kassim untuk yakinkan Tun Mahathir. Tun tak kata apa, saya tunggu lah. Saya terus kerja macam biasa,” katanya.

Shukri berkata, beliau hanya mengetahui mengenai status jawatannya selepas dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah pada 4 Jun lalu.

“Dan saya jumpa dengan Ketua Setiausaha Negara (Ismail Bakar). Hari itu baru saya tahu sebenarnya sudah dilantik pengganti saya.”

Tambahnya, pada hari yang sama beliau juga mengetahui penggantinya adalah orang luar agensi dan bukannya pegawai dalaman SPRM.

Sebelum ini, Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan media mengumumkan Latheefa Beebi Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM yang baru pada Selasa.