Malaysia Dateline

Si Bulus juga tumpang Ops Balik Kampung

Ops Pulang bagi menghantar pelajar yang terkandas di kampus untuk pulang ke kampung halaman masing-masing telah bermula pada 27 April lalu ke pelbagai destinasi di seluruh negara. Reaksi para pelajar dan keluarga pastinya gembira kerana setelah sekian lama terpisah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka kini dapat bersama.

Bagi pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Amira Atiqa Azman,24, beliau tidak pulang keseorangan ke Kluang dari USIM pada Khamis malam baru-baru ini apabila turut dibawa bersama kucing kesayangannya, Momo.

“Saya memang telah nekad, jika tidak dibenarkan oleh urus setia Ops Pulang USIM untuk bawa Momo menaiki bas pulang ke kampung, saya akan terus tinggal di rumah sewa bagi menjaganya. Alhamdulillah, atas budi bicara urus setia, saya dibenarkan bawa Momo bersama untuk menaiki bas”.

“Saya sudah membelanya lebih lima bulan dan rutin penjagaan kesihatannya memang terjaga seperti pengambilan vaksin mengikut tempoh ditetapkan. Saya hanya tinggal seorang diri di rumah sewa sebab rakan yang lain telah pulang sebelum PKP dikuatkuasakan”.

“Saya tak sampai hati untuk tinggalkan Momo di rumah kerana memikirkan tiada siapa yang boleh menjaga makan minum, keselamatan dan kesihatannya. Perasaan kasih, sayang dan risau itu bercampur-baur kerana latihan industri saya kini ditangguhkan. Jadi jika saya balik ke kampung, belum tahu bila akan kembali semula ke Nilai”.

“Apabila urus setia USIM hubungi saya pada Khamis pagi minta bersiap untuk dihantar pulang pada malamnya, masa yang ada untuk kemaskan barang sendiri dan Momo memang singkat. Mujur sempat curi masa untuk keluar membeli pet carrier dan keperluan lain untuk Momo”.

Ujar penuntut tahun akhir program Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM ini, walaupun kali pertama menaiki bas dan tempoh perjalanan yang lama, kucingnya tidak meragam dan kini masih cuba biasakan diri dengan suasana baharu di rumah keluarga di Taman Sentosa, Kluang Johor.

Kehadiran Amira dan kucingnya pada malam pelepasan di Dewan Tuanku Canselor USIM pada malam tersebut turut menarik perhatian Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad yang turut hadir menyaksikan proses penghantaran.

Sementara itu, sehingga Sabtu, seramai 87 pelajar USIM telah selamat dihantar pulang secara berfasa ke beberapa destinasi antaranya Pendang, Kubang Pasu, Kota Setar, Kuala Muda, Seberang Perai, Cheras dan Kuching, Sarawak. USIM memastikan setiap Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa diikuti sepanjang proses sebelum, semasa dan selepas penghantaran kumpulan pelajar ini.