Sia-sia jika undi BN di Semenyih, kata Mahathir

Sia-sia jika undi BN di Semenyih, kata Mahathir
Tun Dr Mahathir Mohamad bersama calon PH Mohamad Aiman Zainali.

Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sia-sia sahaja sekiranya pengundi di Semenyih memilih calon Barisan Nasional (BN) atau parti lain pada pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) itu, Sabtu ini.

Malah, katanya, calon pembangkang tidak mampu melaksanakan agenda pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat kerana tidak mempunyai kuasa di peringkat persekutuan dan negeri.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), sebaliknya berkata, calon PH, Muhammad Aiman Zainali mempunyai kelebihan untuk menunaikan agendanya untuk penduduk Semenyih sekiranya menang PRK itu kerana mempunyai sokongan daripada kerajaan negeri dan pusat yang diterajui PH.

“Kalau pilih (calon) parti pembangkang, apa yang boleh dia buat. Lagipun, Selangor ialah antara negeri terawal yang menolak BN,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Pakatan Harapan, di sini malam ini dalam siri kempen untuk memastikan kemenangan PH dalam PRK itu.

Turut hadir Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Muhammad Aiman.

Dalam pada itu, Dr Mahathir menegaskan walaupun kerajaan PH baru berusia sembilan bulan, ia kini melakukan pelbagai usaha untuk memulihkan keadaan negara yang telah dirosakkan kerajaan terdahulu.

Katanya, ini termasuk usaha ke arah menurunkan kos sara hidup bagi mengurangkan beban rakyat.

Dr Mahathir berkata kerajaan PH berhasrat supaya semua kaum di negara ini dapat menikmati kekayaan negara serta dibangunkan dengan adil dan saksama. Justeru, beliau berkata rakyat khususnya di Semenyih perlu memikirkan masa depan dan memilih calon yang boleh membawa perubahan di kawasan mereka.

“Kalau Muhammad Aiman menjadi ADUN saya yakin dia boleh melakukan apa yang dia rancang di tempat ini,” katanya.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Muhammad Aiman, Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.

Pengundian akan diadakan Sabtu ini.

— BERNAMA