Malaysia Dateline

Sia-siakan kuasa memilih pemimpin tindakan rugikan negara

Hasrat kumpulan anak-anak muda untuk merosakkan kertas undi semasa pilihan raya adalah suatu tindakan yang merugikan malah tidak menguntungkan negara.

Naib presiden Parti Amanah Nasional (AMANAH) Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus juga menyifatkan tindakan itu sebagai mensia-siakan kuasa memilih pemimpin dalam sistem demokrasi.

Mengulas respon kalangan anak-anak muda terhadap cadangan beliau agar mereka yang menjalankan kempen merosakkan kertas undi diambil tindakan, beliau berterima kasih dan memohon kemaafan kepada mereka yang tercabar dan tersinggung dengan cadangan itu.

“Sekurang-kurangnya anak-anak muda menyemak kembali kompas masing-masing dan mereka sama sekali tidak akan merosakkan kuasa memilih atau mensia-siakannya dengan cara yang tidak menguntungkan negara.

“Saya yakin anak muda Malaysia adalah agen perubahan yang sanggup terlibat dalam pembangunan semula negara ini dan tidak akan meninggalkan medan perjuangan ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Menurut Hasanuddin, walaupun kalangan anak muda tidak berpuas hati dengan dasar mana-mana parti politik, mereka boleh menegur, bertanya dan bersikap ambil tahu.

Merosakkan kertas undi, tambah beliau bermakna menyerahkan urusan penentuan pemimpin negara kepada ‘nasib’ sedangkan rakyat yang susah dan terbiar menanti-nanti pemilihan pemimpin yang berwibawa.

“Dalam apa keadaan pun, anak muda Malaysia perlu membuat keputusan daripada opsyen-opsyen yang ada, paling tidak merekalah yang menjadi opsyen ketiga,” ujarnya.

Beliau menambah, Seksyen 124B Kanun Keseksaan menyatakan, sesiapa yang terlibat dalam aktiviti yang membahayakan atau merosakkan demokrasi adalah terlibat dalam jenayah yang boleh dihukum sehingga 20 tahun penjara.

“Apakah kempen merosakkan undi termasuk dalam definisi 124B Kanun Keseksaan tersebut?” soal beliau.

Menurutnya, campur tangan penguatkuasa undang-undang seperti polis dalam kebebasan untuk berkempen agar orang tidak keluar mengundi atau merosakkan kertas undi, adalah pilihan terakhir sekiranya terjadi sesuatu yang benar-benar boleh mengancam negara.

“Kami sentiasa bersedia untuk duduk bersama anda berbincang, memahami aspirasi Generasi Y dan Z, malahan berhujah dalam apa jua isu demi kepentingan masa hadapan anda, anak-anak kami jua.

“Tahniah dan tahniah sekali lagi. Saya berbangga dengan ketegasan anda semua, wahai anak-anak muda yang saya sayangi,” ujar beliau.