Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengisi kekosongan jawatan Timbalan Perdana Menteri disifatkan sebagai simbol kerajaan sudah terdesak sama ada telah mengalah atau ingin terus berkuasa, kata Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa
Beliau berkata, pelantikan itu membongkar ketidakupayaan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin mempertahankan pengkhianatan beliau melalui projek ‘scheme of things’.
Malah katanya, tanda pagar #kerajaangagal bukan lagi ilusi kepada rakyat, tetapi satu realiti.
“Kerajaan PN seolah berada di bawah ihsan kelompok yang ambil kesempatan saat peluang mendatang untuk kepentingan diri. Sebab itu pusingan di gelanggang lawan Covid-19, kita selalu kecundang.
“Parti dan idealisma perjuangan dibakul sampahkan. Mereka hanya bernafas untuk menagih kuasa untuk diri. Tapak berdirinya kompas moral kepimpinan sudah goyah walhal suasana kritikal negara hari ini memerlukan kekuatan prinsip dan kompas moral yang kukuh.
“Sial politik apakah yang melanda negara? Perlukah rakyat tanggung biawak-biawak hidup yang mempertaruhkan kaum dan agama meneruskan nyawa politiknya?,” soalnya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.
Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar itu menegaskan agar semua pihak menghentikan kitaran sikap ‘khianat mengkhianati’ kerana khianat tidak dapat diselesaikan dengan pengkhianatan yang lain.
Beliau juga berharap supaya kemuncak ‘scheme of things’ di sebalik pelantikan timbalan perdana menteri semalam adalah permulaan kepada pengakhiran episod khianat terbesar politik negara.
Lewat malam semalam, selepas pelantikan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri, Umno kekal memutuskan untuk menarik balik sokongan kepada kerajaan Mahiaddin serta merta.
Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang medianya selepas mempengerusikan mesyuarat Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.
Umno turut mendesak Mahiaddin berundur secara terhormat bagi membolehkan Perdana Menteri yang baru dilantik dalam tempoh terhad.