Malaysia Dateline

Siang sibuk membantu, malam terperangkap 7 jam akibat banjir

Sejak awal pagi semalam ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu dan pasukan beliau seharian membantu dan menyantuni mangsa-mangsa banjir di kaswasan beliau.

Mohamad memerhatikan pasukan beliau mengagihkan makanan untuk mangsa banjir.

Namun pada waktu malam, beliau sendiri terperangkap selama tujuh jam di sebuah stesen minyak di Shah Alam akibat banjir.

Pada waktu siangnya beliau meredah banjir, mengagihkan bekalan makanan, melawat pusat pemindahan. Selepas itu beliau bergegas untuk menghadiri mesyuarat di Shah Alam, bagi menyusun gerak kerja membantu rakyat yang terkesan.

Mohamad berbual dengan seorang penunggang motosikal ketika terperangkap kira-kira 7 jam di sebuah stesen minyak di Shah Alam.

“Namun saya terperangkap dalam kesesakan luar biasa lebih tujuh jam. Saya tersangkut di kawasan Kg Baru Hicom dalam Parlimen Kota Raja.

“Mesyuarat diteruskan menerusi aplikasi zoom di dalam kereta sahaja. Dalam pada itu saya berusaha kembali ke pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kota Raja, namun gagal,” katanya.

Beliau hanya berjaya keluar dari situ kira-kira jam 1 pagi, setelah dikeluarkan dari kawasan terperangkap banjir oleh sukarelawan AMANAH (ARiF).

“Sejak pagi semalam saya sudah buat arahan kepada semua petugas untuk turun santuni rakyat segera, pastikan tiada yang kelaparan dan berusaha mengelakkan mereka mengalami musibah lebih buruk.

“Agensi Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Pusat juga sudah berada di lapangan membantu rakyat,” kata beliau.

Mohamad menziarahi rakyat kawasan beliau yang ditempatkan di pusat perpindahan banjir di Kota Raja.

Pada pagi semalam, sekitar 200 penduduk Kota Raja yang terjejas akibat banjir sudah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara di Bukit Rimau.

“Saya sempat melawat dan santuni mereka. Pejabat Ahli Parlimen Kota Raja akan hulurkan sumbangan yang diperlukan.

“Terima kasih agensi-agensi yang terlibat serta sukarelawan yang turun membantu,” kata Mohamad.