‘Siap ada katak, baik punya sindir’, orang ramai teruja lihat lukisan dibeli Sultan Selangor

Oleh ARIF ATAN

“Siap ada katak, baik punya sindir”. Itu antara reaksi orang ramai yang teruja melihat lukisan ‘parlimen beruk dan katak’ yang dibeli Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Laman Facebook rasmi, Selangor Royal Office memberitahu, Sultan Selangor menzahirkan rasa berkenan baginda untuk membeli karya lukisan yang tanpa dinyatakan nama pelukis itu.

Sultan Sharafuddin juga dikatakan menggantung lukisan yang hanya Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dan dua pegawai Parlimen digambarkan sebagai manusia itu di bilik kerja peribadi baginda.

“Satu hari nanti, baginda berhasrat untuk melelong lukisan itu dan hasil lelongannya akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan,” menurut kenyataan di Facebook tersebut berserta lima gambar berkaitan termasuk Sultan Selangor di sisi lukisan satira itu.

Lukisan itu dilihat sindiran kepada situasi sama seperti di Parlimen yang kerap riuh dengan jerit pekik sebahagian wakil rakyat.

Di kiri dan kanan tempat duduk kelihatan sekumpulan beruk, orang utan, cimpanzi dan monyet belanda atau kera bekantan dengan hidung besar selain katak pelbagai jenis dalam bermacam-macam aksi.

Untuk rekod, barisan kanan Dewan Rakyat adalah blok kerusi untuk Ahli Parlimen kerajaan manakala blok pembangkang di barisan kiri Dewan Rakyat.

Terdapat ‘wakil beruk’ di sebelah kanan Speaker sedang mengangkat tangan manakala ada beruk yang nampaknya selamba menguap berkemungkinan mengantuk.

Ada juga aksi katak sedang melompat dan ada katak besar berwarna hijau elok duduk mendongak di tempat duduk.

Di sebelah kiri Dewan Rakyat pula kelihatan seekor beruk sedang menjulang buku berwarna biru tua selain dua katak berwarna biru muda di bahagian dalam mulut dan abdomennya.

Lukisan yang dibeli Sultan Sharafuddin itu mirip karya artis jalanan Inggeris, Banksy yang menyindir ahli Parlimen British bertajuk Devolved Parliament yang dilelong dengan harga AS$12.2 juta (RM51.64 juta) pada 2019.

Baca Sultan Selangor titah menteri Agama dan timbalannya tidak boleh campuri urusan jawatankuasa muzakarah

Baca Penulis buku hina Nabi Muhammad ditahan