Siap bawa anak dan isteri, terkejut dengar alasan lelaki ini curi tabung masjid

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang lelaki berusia 25 tahun sanggup membawa anak dan isterinya ketika melakukan kegiatan mencuri wang di dalam tabung masjid.

Perbuatan lelaki bergelar bapa tersebut akhirnya terbongkar apabila dicekup oleh penduduk kampung selepas 10 hari terlibat dalam kegiatan mencuri tabung.

Setelah pasangan suami isteri berkenaan ditangkap bersama anak mereka, penduduk kampung kemudian melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis.

Ketika disoal siasat, lelaki berkenaan mengaku terpaksa mencuri wang di dalam tabung masjid tersebut untuk menanggung perbelanjaan seharian keluarga kecilnya.

Hal ini kerana, lelaki yang bekerja sebagai pelombong timah laut itu terpaksa menganggur untuk sementara waktu ekoran gelombang tinggi dan cuaca tidak menentu.

Memetik laporan Detik.com, kejadian tersebut difahamkan berlaku di masjid Kampung Pagarawan, yang terletak di daerah Merawang, Pulau Bangka, Indonesia.

Sebelum melakukan kegiatan mencuri, pemuda yang dikenali sebagai Robby Sugara itu akan berpura-pura beribadat atau ikut serta dalam mengerjakan solat berjemaah.

Apabila keadaan sudah sunyi dan tiada orang, Robby akan mula mencuri wang dengan cara mencungkil tabung sementara anak serta isterinya tunggu di luar masjid.

Sekiranya ‘pekerjaan’ itu dilakukan di luar daerah, Robby akan menggunakan wang yang dicurinya untuk menganggung kos penginapan selain perbelanjaan harian.

“Baru 10 hari mencuri tabung masjid. Alasannya kerana tiada pekerjaan. Sebelumnya bertugas sebagai pelombong timah laut. Tetapi sekarang tidak bekerja kerana angin besar.

“Kebiasannya isi tabung ada wang berjumlah 200,000 ke 300,000 rupiah (RM60.58-RM90.87). Kadang-kadang hanya ada 100,000 rupiah (RM30.29) atau kurang,” akui Robby.

Sebelum ditangkap di Masjid Nurul Hikmah Pagarawan, lelaki itu juga pernah mencuri di masjid yang terletak di Tempilang, Belinyu, Sungailiat, dan Merawang.

Dikatakan, setiap kali melakukan aksi pencurian, Robby akan menunggang motosikal untuk mendatangi beberapa buah masjid sambil ditemani oleh isteri dan anaknya.

Robby dan isterinya difahamkan telah ditahan oleh pihak berkuasa dan dibawa ke Balai Polis Merawang untuk tindakan lanjut.

Baca juga: “Mak mentua tak gunalah kau ni” – Wanita hilang sabar dimarahi sebab tak buat kerja rumah, padahal tengah jaga anak demam