Malaysia Dateline

Siap siaga tingkat kecekapan hadapi nahas kereta api

Seramai 40 orang cedera dalam kemalangan membabitkan antara Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dengan dua buah kereta pada 12.15 tengah malam tadi berhampiran jejantas pekan Behrang Stesen di sini.

Kejadian itu mengejutkan rata-rata sekitar penduduk setempat yang tinggal berhampiran lokasi berikutan asap tebal kesan pelanggaran selain bunyi siren kecemasan kenderaan bomba, polis, ambulans serta beberapa agensi lain yang terbabit dalam pengurusan bencana.

Adegan itu bagaimanapun merupakan sebahagian daripada situasi simulasi bagi Latihan Pengurusan Bencana 2018 (D’Mex) Ex-Train18 dilakukan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak serta pelbagai agensi lain untuk menguji tahap kesediaan dan kecekapan semua pihak dalam menghadapi kemalangan dan bencana.

Senario latihan memperlihatkan dua kereta dipandu melulu dinaiki tiga orang yang dipercayai dalam pengaruh alkohol telah terhumban dari jejantas ke atas trek landasan kereta api sebelum sebuah ETS dari arah utara menuju ke KL Sentral dengan membawa 40 penumpang, merempuh kedua-dua kereta itu.

Pengurus KTMB Wilayah Utara Rasul Yahaya berkata menyedari risiko dan cabaran yang perlu dialami pihak KTMB, latihan membabitkan kemalangan kereta api dengan kereta diadakan untuk menilai sejauh mana prosedur keselamatan dapat dilaksanakan oleh pihaknya dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat, pihak polis serta agensi kerajaan lain.

“Di laluan Perak antara dari Tanjung Malim hinggalah ke Bagan Serai, terdapat beberapa kawasan yang dilihat berisiko, jadi latihan sebegini perlu dilakukan bagi meningkatkan kemahiran semua pihak menangani sekiranya terjadi insiden tidak diingini. Malah laluan utara mempunyai jumlah penumpang dan jadual tren yang padat dengan kekerapan perjalanan antara 15 hingga 30 minit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi latihan yang tamat kira-kira 4 pagi tadi yang turut disertai Timbalan Pengarah JBPM Perak Sayani Saidon.

Sementara itu, Sayani berkata latihan tersebut merupakan program latihan tahunan yang dijalankan oleh pihaknya dengan kerjasama agensi lain bagi memantapkan keprihatinan dan persiapan jabatan yang terlibat menjalankan tugas dan menyelesaikan masalah jika berlaku operasi kemalangan luar jangka.

“Senario latihan membabitkan kemalangan kereta api dengan kereta merupakan pertama kali diadakan tahun ini. Latihan dengan adegan yang sebenar akan mendedahkan anggota daripada pelbagai jabatan yang terlibat memahami situasi yang berlaku dan pengalaman tersebut digunakan sebaik mungkin jika menghadapi kejadian sebenar,” katanya.

Selain penglibatan KTMB dan JBPM membabitkan enam Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Tanjung Malim, Slim River, Bidor, Tapah, Hutan Melintang dan Teluk Intan, pihak lain yang terbabit dalam simulasi latihan itu termasuk Majlis Keselamatan Negara, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kesihatan serta pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris yang menjadi pelakon tambahan.

Kata Sayani, setiap tahun pihak bomba mencari senario kemalangan yang berbeza dan latihan itu merupakan kali keempat diadakan sejak latihan pertama pada 2015 di Tapah dan seterusnya di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut 2016 dan membabitkan sebuah pesawat yang membawa lima orang kenamaan terhempas di kawasan lereng Bukit Larut, Taiping pada tahun lepas.

— BERNAMA