Indonesia baru-baru ini menjadi perhatian dunia selepas presidennya, Joko Widodo (Jokowi) mengadakan pertemuan bersama pemilik Tesla, Elon Musk.
Tujuan Jokowi bertemu blionair asal Amerika Syarikat (AS) itu adalah untuk membincangkan potensi kerjasama antara Indonesia bersama syarikat Tesla.
Pertemuan itu diadakan di kilang anak syarikat Tesla, SpaceX di Boca Chica, Texas, AS ketika Jokowi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN, tahun lalu.
Mengejutkan Indonesia, syarikat pengeluar kereta elektrik itu kemudian membuat keputusan untuk membuka ibu pejabatnya di Cyberjaya, Malaysia.
Sedangkan, Jokowi telah menawarkan pelbagai insentif kepada Elon Musk termasuk pelepasan cukai dan konsesi untuk melombong nikel, lapor Berita Harian.
Pengarah Urusan Dewan Perniagaan Amerika-Indonesia, A.Lin Neumann berkata, Malaysia memiliki nilai tambah berbanding Indonesia di mata pelabur.
Memetik laporan Nikkei Asia, Neumann berpendapat bahawa negara ini bersikap terbuka dengan permintaan Elon Musk, walhal Indonesia pula lebih tertutup.
Walaupun perincian lengkap mengenai rundingan Musk bersama Indonesia tidak diketahui, namun Malaysia nampaknya dengan mudah memenuhi kehendak Tesla.
“Sangat sedikit yang diketahui umum tentang apa yang dicari oleh Tesla dari Jakarta atau apa yang ditawarkan oleh Indonesia.
“Tetapi daripada garis besar perjanjian Malaysia, apa yang dikehendaki oleh syarikat pengeluar kereta itu kelihatan agak mudah,” tulisnya.
Menurut Nuemann, perjanjian ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan pada rakyat tempatan, malah memberi kesan yang positif kepada ekonomi Malaysia.
Nuemann juga sempat menyindir bahawa situasi ini berpunca daripada dasar pro-tempatan yang dijalankan oleh pemerintah Indonesia.
Terkesan dengan keputusan Tesla, Indonesia bakal memperkenalkan insentif baharu kepada pengeluar kereta elektrik tidak lama lagi.
Menteri Pelaburan Indonesia, Luhut Pandjaitan juga dijangka bakal bertemu dengan Elon Musk pada minggu ini untuk mengadakan perbincangan lanjut.
Baca juga: Pelombong jumpa berlian terbesar dalam tempoh 300 tahun