Malaysia Dateline

Siapa akan bebaskan minda rakyat Malaysia?

Perancangan awal jadual pementasan “Apa Lagi Yang Bapa Mahu?” di Kuala Lumpur, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Memang saya heran. Saya cuma nak pentaskan teater. Tapi tiba-tiba tempat-tempat yang biasa saya gunakan untuk pementasan-pementasan saya sebelum ini, di sekitar Lembah Klang, yakni yang dimiliki kerajaan (maksudnya Kerajaan Kita) semua yang kami tanya (beberapa lagi belum kami tanya) enggan membenarkan teater saya dipentaskan di situ.

“Alasan mereka (orang-orang yang menguruskan/mentadbir tempat-tempat itu) takut dimarahi oleh pihak atasan. Sebab? Kerana skrip yang berjudul “Apa Lagi Yang Bapa Mahu?” itu – “Bapa” di situ merujuk kepada lelaki berusia 93 tahun yang sedang menjawat jawatan Perdana Menteri di sebuah negeri bagi kali kedua.

“Dan soalan ‘Apa lagi yg bapa mahu’ itu diajukan oleh watak anak perempuan lelaki itu sendiri kepadanya, kerana dia tidak faham kenapa bapanya hendak “bermain kuasa” lagi padahal dah pernah buat demikian selama 22 tahun.

“Dan dia risau kalau-kalau bapanya melanggar kehendak Allah yang difahaminya dari ayat al-Quran “Nikmat Tuhanmu mana lagi yang hendak kamu dustakan?” (Fabi-aiyi aalaa-i rabbikumaa tukazzibaan).

Buku “Puisi Panjang Untuk Mahathir” ini dihasilkan Dinsman berinspirasikan kepemimpinan Dr Mahathir di tahun-tahun awal pemerintahannya.

“Ya, saya heran mengapa pentadbir-pentadbir itu takut hendak membenarkan kumpulan saya mementaskan teater itu, di dewan-dewan yang di bawah pengurusan mereka. Padahal kerajaan PH dikatakan lebih terbuka dan mengamalkan kebebasan bersuara. Apapun, kami masih mencuba lagi…”

Itu catatan di fesbuk saya, Isnin 10 Februari lalu, dengan judul “Kerajaan PH & Kebebasan Bersuara & Kebebasan Berteater”. Seperti dijangka, ramailah yang member respon, dengan reaksi yang pelbagai.

Khairunazwan Rodzy, seorang penulis, pengarah dan pengusaha ruang teater yang paling aktif dan banyak pengalaman teater masakini, menganggap ia satu perkembangan baik kerana pihak-pihak berkenaan itu sudah rajin meneliti skrip. Dia faham yang catatan saya itu bermaksud saya telah mengemukakan skrip kepada pihak-pihak berkenaan dan mereka membacanya.

Yang sebenarnya tidaklah begitu. Pihak saya tidak mengemukakan skrip ‘Apa Lagi Yang Bapa Mahu?’ (ALYBM) itu kepada mana-mana pihak pun yang kami bertanyakan kebenaran untuk buat pementasan. Kami hanya bertanya, dan menjelaskan sedikit mengenai teater yang hendak dipentaskan itu. Berdasarkan penjelasan kami itulah pihak-pihak berkenaan itu membuat keputusan.

Mengapa kami beri penjelasan itu? Ada yang bertanya demikian dan mencadangkan kami tidak “membuka rahsia” mengenai kandungan skrip itu kepada pihak pengurusan dewan/panggung.

Saya memang sengaja mahu maklumat mengenai isi skrip itu dijelaskan. Pertama, sebab saya telah banyak menulis mengenainya dan orang ramai pun saya percaya telah banyak yang baca dan tahu. Kedua, teater itu telahpun dipentaskan di Indonesia 15 Disember lalu dan Mohd Sayuti Omar (MSO) yang hadir menontonnya telahpun menulis mengenainya dalam blognya, dan beberapa orang menyiarkan semula dalam fesbuk.

Ketiga, saya percaya Kerajaan PH sekarang seharusnya tidak ada masalah langsung dengan perkara seperti ini. Apa masalahnya? Nak buat teater jer! Teater itu sejenis aktiviti seni. Bukannya berpolitik. Walaupun isinya mungkin menyentuh hal politik, apa salahnya?

Faktor ketiga ini sebenarnya sudah lama menjadi agenda yang diperjuangkan oleh saya dan kawan-kawan seperjuangan khasnya dalam kumpulan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI); yakni kebebasan dalam beraktiviti seni yang munasabah, yakni yang tidak bertentangan dengan nilai-nilai keIslaman.

Memang ‘Alybm’ saya hasilkan berinspirasi dari peristiwa Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri kali kedua di waktu usianya sudah 93 tahun. Dia menjadi PM tertua dalam dunia. Dan itu mencetuskan inspirasi untuk saya berkarya. Buat ke sekian kalinya. Sebelum inipun saya telah banyak menghasilkan karya berinspirasikan Dr Mahathir.

Dan bagi saya secara peribadi, karya ‘Alybm’ ini saya anggap antara karya saya yang sangat bermakna. Kerananya maka saya sendiri tergerak untuk berlakon semula setelah berpuluh tahun meninggalkan lakonan, yakni apabila dicadangkan demikian oleh Yassinsalleh, dan saya pula mencadangkan dia jadi pengarah, dan kami bersetuju.

Kamarulbahrin Zahid, seorang aktivis parti Keadilan dan pengurus di Institut Darul Ehsan (IDE) yang selalu terlibat dalam aktiviti seni PAKSI, bersetuju menjadi Penerbit kepada projek Jelajah Semenanjung teater ini, kerana dia berpendapat teater ini member peluang untuk penonton mendengar hujah-hujah mengapa lelaki berusia 93 tahun itu masih mahu menjadi Perdana Menteri.

Yang menghairankan saya ialah beberapa orang pegawai kerajaan yang kami mohon kebenaran hendak mementaskan teater ini di dewan/panggung mereka, di sekitar Lembah Kelang, menolak permohonan kami kerana tidak bersetuju dengan skrip, yang mereka anggap hendak menuntut PM supaya berundur.

Memang ada dialog begitu dalam teater ini. Anak perempuan PM itu sendiri meminta bapanya supaya letak jawatan, dengan hujah-hujahnya panjang lebar. Tetapi apakah itu sesuatu yang salah, dan aktivis teater kita dinasihatkan supaya menghindari hal seperti ini dalam berkarya?

Saya serius dalam perkara ini. Saya melihat pemikiran dan sikap yang takut hendak bekerjasama bagi pementasan teater yang membawa kandungan yang mempersoalkan mengapa seorang Perdana Menteri itu hendak menjadi Perdana Menteri ketika sudah berusia 93 tahun, takut dia dimarahi oleh Perdana Menteri yang sedang berkuasa di negaranya – itu adalah pemikiran dan sikap yang masih terjajah/tertawan/feudal/mundur.

Dan pemikiran serta sikap yang seperti itu tidak membantu negara dan rakyat negara ini ke arah mencapai status masyarakat yang maju. Namun itulah dia wajah masyarakat kita hari ini, yang menyebabkan kita masih terkial-kial menghadapi krisis itu dan krisis ini tak habis-habis, kerana pemikiran kebanyakan kita masih terjajah/tertawan/feudal/mundur itu.

Maka siapakah yang berusaha membebaskan minda rakyat negara ini sekarang dan selama ini? Sewaktu Dr Mahathir di awal pemerintahannya sebagai Perdana Menteri pada tahun-tahun awal 1980-an dulu, ya memang dia gigih berusaha ke arah itu. Saya pun terinspirasi menghasilkan puisi-puisi yang kemudiannya saya kumpulkan dalam buku “Puisi Panjang Untuk Mahathir” (1997).

Tetapi apakah Dr Mahathir berterusan dengan sikap dan perjuangannya itu hingga ke hari ini? Tontonlah teater ‘Apa Lagi Yang Bapa Mahu?’ untuk mengetahui jawapannya. Anda mungkin bersetuju dan boleh juga tidak bersetuju. Selamat menonton!