Malaysia Dateline

Siapa aktivis warga emas setia redah trafik saban minggu ke Wisma AMANAH?

Tidak pernah alpa dengan rutin mingguannya, warga emas itu tegar meredah kesesakan jalan raya di ibu negara berulang-alik dari rumahnya di Flat Sri Perak Bandar Baru Sentul ke Wisma AMANAH Negara di Taman Wahyu setiap Rabu.

Hanya bermotosikal bersama rakannya untuk mengambil seikat akhbar Mingguan Amanah berjumlah 100 naskhah, sosok yang sentiasa kemas berserban putih itu sudah alah bisa tegal biasa menempuh trafik yang sarat dengan kenderaan di Jalan Kuching.

Bagi Tuan Haji Abdul Kadir Tauhid, 84, yang menjadi antara pengedar lidah rasmi parti di kawasannya, pergi dan balik sejauh kira-kira 20 kilometer itu merupakan khidmat baktinya terhadap perjuangan parti yang dicintai.

Abdul Kadir Tauhid

Selain mengedarkan akhbar, ahli AMANAH Kawasan Batu tersebut juga kerap bertandang di Wisma AMANAH Negara atas urusan parti termasuk memohon cop dokumen minit mesyuarat.

Tambahan pula, baru-baru ini, beliau telah dipilih menjadi Ketua AMANAH Cawangan Seri Perak Kosmo sekali gus menambah lagi senarai tugas ayah kepada 10 anak, moyang kepada tujuh cicit dan datuk kepada lebih 20 cucu itu.

Bermula sebagai ahli Umno, Haji Kadir kemudiannya menyertai Pas pada era Reformasi 1998 sebelum keluar dari parti sinonim warna hijau itu pada 2015.

Abdul Kadir Tauhid menerima Anugerah Tokoh AMANAH Kategori Aktivis AMANAH yang disampaikan Naib Presiden parti Datuk Mahfuz Omar pada Konvensyen Tahunan AMANAH Wilayah Persekutuan semalam.

Beliau antara 17 Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Batu yang meletak jawatan secara mengejut diketuai Yang Dipertuanya Ishak Surin lantaran tidak lagi sefahaman dengan kepimpinan pusat parti.

Ditanya apa yang mendorongnya setia bersama AMANAH, Haji Abdul Kadir berkata, mahu meneruskan agenda perjuangan Islam yang bersifat rahmah bukan ekstrem dan suka menghukum seperti parti lama diceburinya.

“Saya keluar Umno dan masuk Pas dulu kerana membenci rasuah dan mahu memastikan BN tersungkur dalam pilihan raya.

“Sekarang apabila kita yang jadi kerajaan, saya mahu gagasan AMANAH mengisinya agar masyarakat hidup lebih sejahtera dan sentiasa diberkati,” ujar anak jati Bagan Datuk itu lagi.

Atas khidmat baktinya kepada parti, Abdul Kadir Tauhid telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh AMANAH Kategori Aktivis parti pada Konvensyen Tahunan AMANAH Wilayah Persekutuan di di Rumah Kelab Persatuan Alumni UM, di sini, hari ini. semalam.