Malaysia Dateline

Siapa arah KKM padam saranan tangguh operasi kedai gunting?

Saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Twitter berkaitan penangguhan operasi termasuk kedai gunting rambut didapati telah dipadam.

Saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah itu susulan kebenaran Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk operasi perkhidmatan gunting rambut asas.

“KKM menasihatkan semua industri menangguhkan terlebih dahulu operasi termasuk kedai gunting rambut dalam tempoh seminggu ini sehingga data-data menunjukkan kita berada dalam pemulihan.”

Namun, selepas beberapa media berkongsikan nasihat KKM itu, ciapan tersebut kemudiannya didapati telah dipadam.

Perkhidmatan gunting rambut asas dan kedai cermin mata antara sembilan sektor ekonomi disenaraikan MITI yang mendapat kebenaran beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April ini.

Bagaimanapun, kerajaan Negeri Sembilan turut mengambil keputusan menangguhkan kebenaran tersebut sehingga mendapat satu prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan oleh KKM.

Menteri Besarnya bimbang kedua-dua perkhidmatan yang berurus niaga secara terus dengan masyarakat itu berlangsung tanpa adanya penjarakan sosial yang digariskan KKM bagi mengekang penularan wabak koronavirus Covid-19.

Di Terengganu pula, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mendahului enam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain di negeri itu apabila tidak membenarkan kedai gunting beroperasi.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Shahidan Embok mengakui, pihaknya terpaksa mengambil keputusan tersebut sebagai langkah pencegahan penularan wabak Covid-19.