Siapa bagi duit kepada Hadi akan diIslamkan, sindir Mahathir

Siapa bagi duit kepada Hadi akan diIslamkan, sindir Mahathir

Calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pendirian Pas terhadap Umno-BN yang berbeza pada masa ini ada kaitan dengan faktor wang.

Menurutnya, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah mengeluarkan satu amanat menentang Umno-BN bukan kerana namanya Umno-BN tetapi kerana mengekalkan sistem pentadbiran kafir.

“Bukan itu saja, dia mendesak supaya menentang kerajaan, kalau mati menentang kerajaan, awak mati syahid.

“Sekarang ini, Pas yang dulu kata Umno kafir kerana kerjasama dengan orang kafir, hari ini Abdul Hadi kata tidak pernah kata Umno kafir.

“Pernahkah kita tengok, seorang pembohong sebesar itu? Seluruh negara tahu, dia tuduh Umno kafir. Kenapa? Kerana nak kerjasama dengan Umno.

“Tiba-tiba yang kafir ini sudah diIslamkan. Siapa yang bagi duit kepada Hadi akan diIslamkan, tidak payah ‘potong’ (bersunat) apa-apa,” sindirnya malam tadi.

Berucap di hadapan lebih 40,000 penyokong PH di Indera Mahkota, Pahang, Tun Mahathir berkata, sikap Abdul Hadi itulah menjadi punca persengketaan dalam umat Islam.

“Inilah Hadi. Kaki pembohong yang besar sekali. Sebab itu kita lihat bagaimana orang Islam berperang sesama orang Islam.

“Orang semacam Haji Hadi inilah, orang Islam sembelih orang Islam kerana orang itu kafir, orang itu tidak cukup Islam,” tegasnya.

Sehubungan itu, Pengerusi Bersatu berkenaan menyeru rakyat hanya mengundi pada 9 Mei lambang PKR sahaja memandangkan manifesto PH adalah munasabah dengan janji diyakini akan ditunaikan.

“Hari ini Hadi berkerjasama dengan Umno. Bahkan, dikatakan Pas sebahagian daripada Umno. Kita jangan undi bulan.

“Saya percaya (simbol) dacing dan bulan ini tidak harus diberi satu undi pun. Zero vote for dacing and moon. Sebab orang ini, tiada keikhlasan, apabila mereka janji, mungkir.

“Sebab itu, jangan pangkah dacing atau bulan. Hanya yang dipangkah simbol KeADILan yang menjadi simbol Pakatan Harapan,” seru Tun Mahathir lagi.

Turut hadir dalam siri jelajah itu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah.

 

COMMENTS

Wordpress (0)