Siapa bakal dinobat Olahragawan, Olahrawati Negara 2018?

Siapa bakal dinobat Olahragawan, Olahrawati Negara 2018?

Jawapan siapa dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Negara 2018 bakal diketahui pada malam Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2018  hari ini?

Tahun ini, Jawatankuasa Pemilihan Majlis Sukan Negara (MSN) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr Waitchalla R.R.V.Suppiah, menerima 65 pencalonan untuk 11 kategori daripada persatuan sukan kebangsaan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Selepas melalui proses penapisan yang teliti, lima atlet lelaki dan lima wanita disenarai pendek untuk menjulang gelaran tersebut.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk berangkat hadir dan seterusnya menyampaikan anugerah utama pada majlis berkenaan yang akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Debaran dirasai oleh lima calon lelaki dan lima calon wanita yang telah disenarai pendek, berdasarkan pencapaian cemerlang mereka di pentas antarabangsa sepanjang tahun lepas.

Calon-calon berkenaan juga adalah mereka yang mempamerkan pencapaian cemerlang di dua temasya besar, – Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia dan Sukan Asia di Jakarta-Palembang di samping pencapaian di kejohanan peringkat dunia sepanjang 2018.

Jaguh boling negara, Mohd Rafiq Ismail dan Amy Kwan Dict Weng dari sukan gimrama disebut-sebut sebagai calon yang layak diberikan pengiktirafan selaku Olahragawan dan Olahragawati Negara selepas masing-masing mencipta sejarah masing-masing.

Mohd Rafiq mengungguli senarai lima calon Olahragawan Negara, diikuti atlet berbasikal trek Mohd Azizulhasni Awang, Mohd Nafiizwan Mohd Adnan (skuasy), Mohd Syarul Azman Mahen (bina badan) dan Mohd Fauzi Kaman Shah (pelayaran).

Berdasarkan pencapaian tahun lepas, Mohd Rafiq, 21, mencipta sejarah tersendiri menamatkan kemarau 39 tahun apabila berjaya membawa pulang pingat emas dalam acara perseorangan di Kejohanan Boling Dunia Lelaki di Hong Kong (2018), menewaskan pemenang pingat emas 2014, Dan MacLelland dari Kanada dengan 217-204.

Kali terakhir Malaysia menang pingat emas dalam kategori lelaki dalam kejohanan itu ialah pada tahun 1979 di Manila, menerusi gandingan trio J.B Koo, Allan Hooi dan Edward Lim.

Mohd Rafiq turut cemerlang ketika penampilannya di Sukan Asia 2018 apabila meraih emas dalam acara Masters lelaki.

Baru-baru ini juga, Mohd Rafiq turut dianugerahkan sebagai Atlet Terbaik 2018 pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan (SAM) – 100Plus.

Bagi calon Olahragawati Negara pula, lima atlet telah disenaraikan iaitu S.Sivasangari (skuasy), Siti Zalina Ahmad (boling padang), Siti Sfiyah Amirah Abdul Rahman (tenpin boling), Tan Li Lian (bina badan) dan Amy Kwan (gimrama).

Namun, tiga daripadanya dilihat berpotensi iaitu Amy Kwan , Siti Safiyah Amirah dan Siti Zalina yang telah menampilkan kelas tersendiri dalam beberapa kejohanan peringkat antarabangsa sepanjang tahun lepas termasuk di Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

Siti Safiyah Amirah, 28, telah menyumbang pingat emas menerusi acara trio di Sukan Asia di samping menyumbang pingat perak dalam acara berpasukan manakala Siti Zalina, 39, menyumbang pingat emas di Sukan Komanwel dalam acara pairs serta meraih pingat emas di Kejohanan Boling Padang Asia di Henan, China.

Kedua-dua atlet itu dilihat bersaing sengit dengan gimnas Amy Kwan yang telah melakukan kejutan di temasya Sukan Komanwel apabila menghadiahkan emas dalam acara riben dan membantu acara berpasukan meraih pingat perak.

Atas kertas, Mohd Rafiq dan Amy Kwan dilihat memiliki peluang tetapi mereka terpaksa bersaing dengan beberapa calon lain yang turut melakar kecemerlangan di pentas antarabangsa dalam acara masing-msaing sepanjang tahun lepas.

Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, masing-masing akan menerima sebuah piala, piala iringan, sijil dan hadiah wang tunai RM20,000.

ASN yang diperkenalkan sejak 1966, adalah satu pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi menghargai kecemerlangan sepanjang tahun yang dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan.

Selain anugerah Olahragawan dan Olahragawati, ASN turut menawarkan sembilan anugerah lain iaitu Olahragawan Para dan Olahragawati Para Negara, Pasukan Lelaki dan Wanita Negara, Jurulatih Lelaki dan Wanita Negara, Anugerah Tokoh Sukan, Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.– BERNAMA