Siapa bakal ‘kacau daun’ di Sungai Besar, Kuala Kangsar?

Seolah-olah wujud dilema di pihak pembangkang untuk fokus mengalahkan BN ekoran keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang menyaksikan BN menang besar pada 7 Mei lalu.

Isu pertindihan kerusi pada PRN Sarawak ke-11 lalu dijangka akan berulang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang serentak akan berlangsung 18 Jun iaitu 13 Ramadan depan.

Hanya kali ini kebarangkalian tinggi melibatkan pertembungan antara Pas dengan parti musuh nombor wahidnya tetapi komponen Pakatan Harapan – Amanah.

Apa lagi, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim awal-awal lagi memberi amaran supaya parti pembangkang lain tidak meletakkan calon di kedua-dua kerusi itu. Terdahulu, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali juga menegaskan pendirian sama.

Tidak hairanlah, Amanah membidas sikap Pas tersebut sebagai mementingkan diri sendiri memandangkan Amanah sebelum ini ibarat sudah menghulurkan tangan sudi berbincang dengan Pas bagi mengelakkan pertembungan.

Melihatkan Pas hanya mahu berunding dengan PKR, Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir menyelar parti ketandusan pemimpin rakyat itu sepatutnya sudah lama meninggalkan kerusi mereka di Selangor apabila bekerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Mohd Anuar TahirSementara itu, PKR pula dilihat cuba tidak mahu ‘berperang’ dengan Pas tetapi pada masa sama perlu menjaga hati Amanah. Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah pada 11 Mei memberitahu, pihaknya bersedia dan tidak bermasalah untuk berbincang dengan Pas tetapi pada masa sama tetap mengambil kira pertimbangan bersama parti komponen Pakatan Harapan.

Bahkan, sehari selepas itu, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga mengajak Pakatan Harapan dan Pas mengetepikan kepentingan individu serta kepartian sebaliknya bersatu untuk menewaskan BN.

Lain pula pendirian DAP yang terang lagi tegas menolak sama sekali calon Pas pada PRK serentak yang dianggarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencecah kos RM2.7 juta itu.

Sebaliknya, DAP hanya akan menyokong calon daripada Pakatan Harapan yang umum dilihat Amanah seperti ditegaskan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, 13 Mei lalu.

Sebahagian penganalisis politik memihak kepada Pas atas alasan calon BN bagi P67 Kuala Kangsar dan P93 Sungai Besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 2013 lalu menang dengan majoriti undi tipis iaitu masing-masing 1,082 dan 399 undi.Lim Guan Eng

Tanpa mungkin mengambil senario kepimpinan dan pendekatan Pas yang berbeza selepas tiga tahun keputusan itu yang kemudiannya menyaksikan penghijrahan ramai golongan profesional, agamawan dan aktivis memasuki Amanah, Pas masih dianggap mungkin berpeluang merampas kerusi daripada BN.

Antaranya pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa dan Komunikasi Universiti Malaysia Sarawak, Profesor Madya Dr Jeniri Amir. Menurutnya, laluan perlu diberi kepada Pas dengan mendakwa Pakatan Harapan tidak harus ‘kacau daun’.

Beliau dilapor berkata, Pakatan Harapan dan Pas perlu bekerjasama kerana lawan yang hendak ditumbangkan adalah BN bukannya sesama pembangkang.

Menganggap Pas mempunyai peluang cerah untuk menang, Jeniri berpendapat, pertembungan tiga penjuru hanya akan memberi peluang mudah kepada kemenangan BN.

Dr Jeniri AmirAmanah ‘kacau daun’?

Walau bagaimanapun, tanggapan kononnya Pakatan Harapan atau lebih khusus sebenarnya dituju kepada Amanah sebagai ‘kacau daun’ adalah tidak tepat.

Hal ini memandangkan Amanah terang-terang berada di blok pembangkang dan sama sekali tidak ‘cakap berlapik’ dalam berdepan penyelewengan dan salah guna kuasa BN.

Amanah yang diterajui Presidennya, Mohamad Sabu turut diterima baik masyarakat Cina kerana tidak bermusuh dengan DAP seperti tergambar dalam pendirian Guan Eng yang menyebelahi Amanah.

Bahkan, faktor peratusan pengundi Cina di Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang signifikan masing-masing hampir 31 dan 25 peratus juga dijangka memberi kelebihan kepada Amanah.

Selain itu, rekod undi popular diraih Amanah sebanyak 1.24 peratus pada PRN Sarawak lalu juga menyaksikan pencapaian yang positif dan tidak jauh beza dengan 1.70 peratus undi popular Pas yang telah wujud sejak 1951 itu.

Rekod Amanah sebagai parti yang belum berusia setahun penubuhannya di negeri dengan lanskap politik berbeza berbanding Semenanjung itu dijangka jauh lebih baik jika bertanding dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Tambahan pula, isu-isu nasional kemungkinan besar turut memberi tempias yang bukan sedikit kepada sentimen pengundi di Semenanjung.

BN pada masa sama tentunya tidak senang duduk selepas terpalit dengan kontroversi di sebalik isu ‘derma’ RM2.6 bilion dan syarikat pelaburan sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Justeru, soal siapa ‘kacau daun’ dilihat lebih tepat ditujukan kepada Pas memandangkan parti diterajui Hadi Awang itu sebelum ini mendabik dada hanya mahu menjadi penasihat kerajaan.

Memenangi pilihan raya juga bukan matlamat Pas pasca muktamar pemilihan tahun lalu. Bahkan, ketika kencangnya krisis BN di Terengganu, Pas enggan memanfaatkan ruang luas tersebut untuk menawan negeri itu walaupun tiada parti pembangkang lain mempunyai alasan kukuh untuk ‘kacau daun’.

COMMENTS

Wordpress (0)