Malaysia Dateline

Siapa bakal Pengerusi MPN Perlis menjadi pilihan Anwar?

Walaupun Perlis hanya sebuah negeri kecil dengan mempunyai tiga kawasan Parlimen, setelah selesainya pemilihan kerusi Ketua Cabang dan barisan kepimpinan Angkatan Muda Keadilan dan juga Wanita, sudah pasti kedudukan kerusi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) masih lagi menjadi persoalan.

Semalam PKR sudah mengumumkan enam nama bagi jawatan  Pengerusi MPN mewakili Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Sabah, Wilayah Persekutuan dan Melaka.

Bagi Negeri Perlis, siapakah antara tiga Ketua Cabang yang akan diberi mandat untuk mengepalai sebagai Pengerusi MPN Negeri Perlis.

Apakah kemungkinan besar kerusi tersebut akan diberikan kepada Ahli Parlimen Kangar yang juga merupakan Ketua Cabang Kangar, Noor Amin Ahmad.

Ataupun Ketua Cabang Padang Besar, Amran Kamarudin yang juga merupakan bekas Setiausaha Kerja MPN Negeri penggal yang lalu.

Mungkinkah ia akan menjadi milik Ketua Cabang Arau yang baru iaitu Izhar Kamarudin Sudin yang buat pertama kalinya menang dalam pemilihan cabang baru-baru ini.

Namun begitu pelbagai persepsi timbul samada Ketua-Ketua Cabang yang menang akan diberi prioriti untuk menerajui kepimpinan sebagai Pengerusi MPN atau sebaliknya oleh Presiden.

Mantan Ketua Wanita PKR Negeri, Poziyah Hamzah ketika ditemui semalam berkata, seharusnya mandat yang diberikan oleh ahli yang memilih ketua cabang masing-masing dihurmati.

“Sewajarnya pemilihan Pengerusi MPN negeri dilantik dikalangan ketua-ketua cabang yang menang.

“Adalah tidak wajar dan tidak menghurmati suara akar umbi sekiranya pelantikan yang dibuat tidak dikalangan mereka yang menang.

“Sehubungan itu memberi mandat kepada mereka yang menang untuk dilantik sebagai Pengerusi MPN seharusnya dilaksanakan, ” ujar beliau.

Isu pelantikan sebagai Pengerusi MPN negeri-negeri masih lagi dinantikan dengan penuh debar oleh kesemua ketua cabang yang memenangi kerusi tersebut dalam pemilihan parti yang lalu.

Tidak dapat dinafikan sudah terdengar keluhan dan luahan sesetengah daripada mereka yang mahukan Presiden menghurmati suara majoriti yang memberi mandat kepada ketua-ketua cabang yang dilantik.

Malah terdengar juga suara-suara yang menzahirkan kekecewaan sekiranya suara yang menang tidak didengari, sebaliknya yang kalah pula dinobatkan sebagai Pengerusi MPN.