Siapa bantah, kena hadir ceramah Dr Zakir, kata Pendakwah

Siapa bantah, kena hadir ceramah Dr Zakir, kata Pendakwah

 

 

 

 

 

 

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 Dr Zaharuddin Abdul RahmanPendakwah terkenal tanah air Dr Zaharuddin Abd Rahman mengingatkan semua pihak yang beremosi dan membantah keras pembatalan ceramah Dr Zakir Naik agar berusaha keras untuk hadir selepas ia tidak lagi dibatalkan.

Beliau berkata, pihak yang membantah pembatalan itu tidak harus hanya menang ‘bertempur pandangan’ tetapi tewas dalam ‘angin sepoi-sepoi bahasa di waktu tenang’.

“Sekarang, apabila tidak lagi dibatalkan, maka semua yang beremosi dan membantah tegas dengan pelbagai jenis bahasa sewajarnya berusaha keras untuk hadir atau paling tidak menonton livestream serta mengambil manfaat dari ceramah terbabit. Khususnya bagi yang mampu fahami bahasa Inggeris.

“Jangan hanya menang ‘bertempur’ pandangan tetapi ‘tewas’ dalam angin sepoi-sepoi bahasa di waktu tenang,” tulis beliau di facebook.

Syarahan umum Dr Zakir Naik yang dijadual diadakan Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) Melaka, Ahad ini diteruskan dengan tajuk baharu iaitu ‘Women’s Rights In Islam’.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata kerajaan membenarkan tokoh pendakwah dari India itu mengadakan syarahan di Melaka namun perlu menukar tajuk syarahannya.

“Alhamdulillah kita bersyukur pandangan pelbagai pihak yang menyeru agar Dr Zakir Naik diberikan kebenaran untuk berceramah seperti rancangan awal di Melaka dan KL telah berjaya mendapat kelulusan,” kata Zaharuddin.

Beliau yang juga Presiden NGO Himpunan Para Ustaz dan Pendakwah (Murshid) sebelum ini turut menggesa pihak berkuasa agar tidak tergesa-gesa menghalang ceramah Dr Zakir Naik yang disifatkan sebagai berpengetahuan dan berpengalaman luas.

Sementara itu, di George Town, program syarahan ilmu oleh Fariq Naik, anak kepada Dr Zakir Naik, bertajuk ‘Misconceptions About Islam’ yang dijadual berlangsung di Kompleks Masyarakat Penyayang Pulau Pinang, Jumaat ini dibenarkan dengan dua syarat.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata perbincangan khas Exco kerajaan negeri pagi ini memutuskan untuk membenarkan program berkenaan diteruskan dengan syarat ia tidak menyentuh dan merendahkan agama lain serta penganjur memaklumkan program itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

TAGS

COMMENTS