Siapa bentuk perwatakan Cina Malaysia?

Oleh NASUHA RAHMAN

Dalam satu tulisan berjudul “Cina: China, Taiwan dan Malaysia” (https://www.malaysiakini.com/columns/585624) yang tersiar di Malaysiakini, saya cuba membedah perwatakan yang berbeza dalam kalangan Cina di ketiga-tiga wilayah ini.

Sesungguhnya, perwatakan itu bukan wujud secara semulajadi, dan berbeza kerana faktor geografi semata-mata. Ianya dicorakkan melalui pergolakan politik, pertembungan budaya, rangsangan ekonomi dan sebagainya. Malah, kebanyakan masanya perwatakan itu terbentuk sebagai reaksi kepada apa yang berlaku di sekelilingnya.

Dalam bahagian akhir, saya mengupas secara kasar tiga perwatakan yang ada dalam masyarakat Cina Malaysia, menyedari bahawa spektrumnya terbentang lebih luas pada hakikatnya. Tidak dinafikan wujudnya golongan Cina yang masih terikat sentimennya dengan China, pada masa yang sama, terdapat juga golongan Cina yang lebih mengidamkan suasana masyarakat Taiwan, yang memperlihatkan keterbukaan dan keterangkuman. Di tengah-tengah jalur ini, ada juga golongan yang cuba mengadunkan idealisme dengan konteks tempatan, dan mencari formula yang disepakati masyarakat majmuk di Malaysia.

Situasinya lebih rumit seandainya kita mengupas lebih lanjut. Misalnya, sesetengah golongan yang sentimennya tercungkil apabila disebut “China”, tidak semestinya “gagal menyesuaikan dirinya dengan bumi yang sedang dipijak”. Setahu saya, terdapat usahawan-usahawan Cina yang masih terbawa-bawa dengan “ke-China-an”-nya, tetapi berlapang dada dengan Melayu di Malaysia. Mereka cukup murah hati untuk menderma dan menaja aktiviti kebudayaan, mahupun keagamaan Melayu-Muslim di Malaysia. Dalam kes ini, apakah adil dan tepat untuk kita menuduh bahawa golongan ini “cauvinis”, atau “tidak taat kepada Malaysia”?

Golongan yang teruja dengan suasana masyarakat Taiwan pula, lebih cenderung kepada jalur “liberal”. Mereka lebih menjunjung hak dan kebebasan individu, membela golongan minoriti yang terpinggir, termasuk LGBT. Perjuangan mereka didasari dengan teori yang pelbagai, dan mungkin tidak disenangi, atau belum dapat diterima arus perdana masyarakat Malaysia. Mereka tidak termakan dengan propaganda China, tidak mudah dibakar dengan semangat nasionalis, sebaliknya mendukung idealisme yang lebih progresif dan inklusif.

Sukar diramal sejauh manakah nisbah kedua-dua golongan tersebut. Namun, jangan sesekali kita terlepas pandang bahawa wujudnya juga golongan yang cuba menemukan kelompok masyarakat yang berbeza di atas titik persamaan. Mereka bersedia untuk berkompromi, pada masa yang sama tidak berganjak dari prinsip asas. Mereka mengambil kira keperluan dan tuntutan kelompok yang berlainan, dan cuba mencari muafakat untuk membentuk formula yang paling sesuai bagi Malaysia.

Ingin saya tekankan, bahawa perubahan nisbah saiz golongan-golongan yang tersebut di atas, tertakluk kepada perubahan suasana masyarakat Malaysia. Misalnya, seandainya kerajaan mengambil sikap yang lebih keras dan memperlihatkan ketidakadilan terhadap masyarakat Cina, maka lebih ramai Cina akan kecewa, dan meletakkan harapannya agar kebangkitan China boleh membela nasib Cina di Malaysia. Sudah tentu kecenderungan ini boleh menjurus kepada kitaran yang negatif, kerana masyarakat Melayu akan mempersoalkan ketaat-setiaan Cina Malaysia terhadap tanahair, bukan?

Sementara itu, seandainya Malaysia berkembang ke arah sebuah masyarakat yang lebih konservatif, terperangkap dalam kepompong lama, tersepit dalam fahaman yang sempit dan jumud, maka golongan kedua akan menjadi pasrah dan hilang harapan. Mereka akan bertukar menjadi sinis untuk memperlekehkan, malah menyindir tanahair sendiri. Bayangkan, apakah yang terjadi andainya golongan berfikiran progresif, berakhir dengan sikap sinikal terhadap negaranya? Dan semestinya ia juga menyumbang ke arah kitaran negatif, kerana masyarakat Melayu akan menganggap kumpulan ini tidak bertanggungjawab, tiada semangat kekitaan, dan tidak memberi sumbangan membina.

Justeru, cabarannya bukan hanya pada masyarakat Cina, sebagaimana perubahan mentaliti masyarakat Melayu juga sukar berlaku, andainya masyarakat bukan Melayu tidak memainkan peranan positif. Misalnya, jikalau masyarakat Cina asyik menafikan keikhlasan Melayu, bersangka buruk terhadap setiap tindak-tanduk Melayu, sudah tentu Melayu tidak selesa. Dalam situasi sedemikian, retorik “Cina dapat betis mahu paha”, “Mereka semakin berani!!!” akan berbisik, dan akhirnya perubahan yang diinginkan, gagal disempurnakan.

Begitu juga andainya kita bertukar kedudukan. Bayangkan, apabila Cina DAP menghulurkan tangan, diragui pula ada konspirasi kristianisasi di sebaliknya; Apabila Cina Dong Zong menghulurkan derma, dituduh pula pandai berlakon. Cuba kita renung sejenak, bukankah hujah-hujah sedemikian, mematahkan semangat mereka untuk terus membina jambatan? Bukankah retorik murahan sedemikian, mempengaruhi Cina atas pagar untuk berfikir, “Buat apa pun tak guna. Baik Cina tolong Cina sahaja”?

Tulisan ini tidak berniat untuk menuding jari. Hanya satu mesej yang ingin disampaikan, kita membentuk perwatakan orang di sekeliling kita dengan reaksi kita. Untuk membentuk perwatakan Cina yang baik, kita memerlukan Melayu yang baik. Untuk membentuk perwatakan Melayu yang baik, kita memerlukan Cina yang baik. Petua ini sesuai juga digunakan untuk semua kaum.

Kesimpulannya, untuk membentuk Malaysia yang baik, kita sendiri perlu menjadi insan yang lebih baik.