Siapa bertopengkan Islam untuk habuan dunia?

Siapa bertopengkan Islam untuk habuan dunia?

Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional, Mohamed Hanipa Maidin berkata Allah mahu menunjukkan pihak yang menggunakan Islam sebagai topeng bagi merebut habuan dunia.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz di akhbar Mingguan Malaysia baru-baru ini yang menafikan Umno zalim sebaliknya berkata DAP kini yang bersikap demikian.

“Kamu (Nik Abduh) kata, ‘Allah SWT sebenarnya nak tunjuk kepada kita siapa yang lebih zalim iaitu DAP’.

“Tapi mungkin juga ‘Allah SWT sebenarnya nak tunjuk kepada kita siapa yang bertopeng atas nama agama ini untuk habuan dunia’. Wallahu ‘alam,” katanya dipetik daripada reaksi beliau hari ini di Facebook.

Menurut Pengerusi Biro Undang-undang Amanah (Kanun) itu, akhbar Utusan Melayu amat suka melaporkan kenyataan pimpinan Pas yang dipanggilnya sebagai ‘parti suci’.

“Umno yang dianggap parti zalim terhadap Islam kerana menentang usaha Pas menegakkan hukum hudud mula berubah menjadi lunak, namun muncul pula parti lain lebih zalim iaitu DAP,” ujar Nik Abduh dipetik daripada Mingguan Malaysia.

Sehubungan itu, Hanipa menyifatkan penegasan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz dalam melawan Umno lebih diyakini.

“Patutlah dalam Parlimen kamu (Nik Abduh) tidak hentam @ lawan Umno. Takpa lah kami lebih yakin untuk ikut jejak langkah dan nasihat almarhum ayahanda anda daripada anda dalam isu lawan Umno ini,” tegas peguam itu lagi.

Semakan Malaysia Datelina mendapati Utusan Malaysia dan cetakan hari Ahad, Mingguan Malaysia cenderung melaporkan kenyataan pemimpin Pas bahkan memberi laporan penuh sehingga dua halaman bagi Muktamar Tahunan Pas sejak pasca perpecahan parti tersebut pada 2015.

Ini termasuklah pada Februari lalu apabila Mingguan Malaysia tidak menyenaraikan Pas dalam pecahan kerusi pembangkang di Dewan Rakyat sebaliknya hanya meletakkan wajah ketua parti bagi Amanah, PKR, DAP dan Bersatu.

Pada masa sama, Mingguan Malaysia juga kerap menyiarkan wawancara bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta pemimpin kanan parti yang memusuhi Pakatan Harapan itu termasuk Nik Abduh.

Dalam hal berkaitan, kolumnis Mingguan Malaysia, Johardy Ibrahim secara berterus-terang mengakui akhbar Utusan paling tepat dilabel “akhbar milik parti pemerintah”.

Beliau dalam ruangannya, Merrepak di halaman 10 keluaran hari ini memberitahu Umno memegang majoriti ekuiti pemilikan Kumpulan Utusan.

“Jadi bila media pro-pembangkang seperti Malaysiakini melabelkan Utusan sebagai ‘akhbar dikuasai kerajaan’, ia sebenarnya sedikit menyeleweng kerana memberi gambaran akhbar ini lemah, lalu dikuasai pihak berkuasa.

“Hakikatnya, akhbar ini adalah milik parti pemerintah. Bukan ‘dikuasai’ tetapi sememangnya ‘dimiliki’. Tiada apa hendak disorok,” kata Johardy lagi.

COMMENTS

Wordpress (0)