Malaysia Dateline

Siapa betul siapa salah tidak timbul yang penting masa depan digital negara

Pemuda AMANAH Negeri Perak menyambut baik debat yang diadakan antara Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng berkenaan isu Kabotaj Negara yang disiarkan secara langsung malam tadi.

Pengarah Komunikasi Mohd Ikmal Mohd Iskandar berkata, isu yang dibahaskan walaupun bersifat teknikal dan sangat akademik, ia sebenarnya memberi satu demensi baru terhadap apa yang berlaku dalam isu Kabotaj Negara khususnya dalam aspek pembaikan kerosakan kabel dasar laut.

“Masing-masing mengemukakan hujah yang mana Pemuda Amanah Negeri Perak berasa sangat baik dari sudut pandang sebagai kerajaan mahupun pembangkang.

“Seperti mana kata YB Lim Guan Eng, soal siapa betul siapa salah tidak timbul. Apa yang penting adalah masa depan digital negara,” katanya.

Katanya, AMANAH mengalu-alukan agar debat seperti ini diperbanyakkan lagi agar rakyat marhaen memahami dengan lebih tuntas tentang sesuatu dasar negara seraya mendidik rakyat Malaysia lebih berinfomatif.

“Semoga rakyat Malaysia menjadi rakyat yang celik dan kembali bangkit selepas 2 tahun diuji dengan pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Terdahulu, pertikaman lidah di antara Wee Ka Siong dari MCA dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berhubung dasar kabotaj terhadap kapal asing yang terlibat dalam pembaikan kabel internet dasar laut dapat diselesaikan melalui debat yang berlangsung malam tadi.

Dua seteru politik itu mengambil bahagian dalam debat pada jam 9.30 malam yang disiarkan di Astro Awani dan TV8, serta di platform media sosial TV3.

Kedua-dua mereka sebelum ini saling mencabar untuk berdebat tentang dasar kabotaj sejak Wee membatalkan pengecualian kabotaj kepada kapal asing yang terlibat dalam pembaikan kabel internet dasar laut.

Ekoran ini, menyebabkan Lim dan beberapa pemimpin PH mengkritik Wee, dan mendakwa keputusan itu menyebabkan gergasi teknologi menjauhkan diri dari Malaysia.