Malaysia Dateline

Siapa bohong?

Hanya 19 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menghadiri satu mesyuarat dengan Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Dakwaan ‘orang dalam’ BN itu sekali gus bercanggah dengan angka 40 Ahli Parlimen yang disebutkan Ismail sebelum ini.

Menurutnya, mesyuarat itu diadakan di Kuala Lumpur untuk menunjukkan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin.

“Hanya 19 Ahli Parlimen yang hadir, bukan 40,” kata ‘orang dalam’ berkenaan, lapor FMT.

Sumber itu berkata, sesetengah Ahli Parlimen mungkin menjauhkan diri daripada Mahiaddin susulan ketegangan antara Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dengan Istana Negara.

“Majoriti daripada mereka menyokong Mahiaddin, tetapi sekarang baki 21 Ahli Parlimen mungkin menjauhkan diri selepas ketegangan antara pentadbiran Muhyiddin dengan Istana,” katanya.

Pada 29 Julai lalu, Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera itu berkata, seramai 40 Ahli Parlimen BN mengadakan satu perjumpaan dengannya dan sebulat suara menyokong kerajaan pimpinan Mahiaddin.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kemudiannya turut mengesahkan pertemuan di bangunan Parlimen itu dan katanya, semua Ahli Parlimen terbabit memberikan sokongan terhadap kerajaan PN.