Malaysia Dateline

“Siapa cakap pada dia PH akan kutip tol selamanya?’- Khalid balas tuduhan Najib isu ‘toll-forever’

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad memulangkan paku buah keras kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membuat tuduhan bahawa Pakatan Harapan merancang untuk meneruskan kutipan caj tol sampai bila-bila atau ‘toll-forever’.

Menurut Khalid, Najib mungkin lupa bahawa cadangan PH sejak awal lagi adalah untuk meringankan rakyat daripada masalah kewangan yang dibebankan kepada mereka oleh kerajaan Najib sendiri.

Justeru katanya, Ahli Parlimen Pekan itu yang sebenarnya mahu mengenakan ‘toll-forever’ jika kerajaan ini masih lagi di bawah kekuasaan Barisan Nasional (BN).

“Cadangan PH ialah agar kerajaan membeli lebih 4 tol dan memberikan diskaun 30 peratus kepada semua pengguna yang menggunakannya pada waktu luar puncak.

“Mereka yang menggunakannya pada waktu puncak walau bagaimanapun akan dicaj pada kadar semasa yang tidak terdiskaun.

“Di mana lelaki tidak tahu malu itu mendapat idea bahawa kami akan mengutip tol selama-lamanya, saya pun tak tahu.

“Cukup untuk dikatakan bahawa tempoh konsesi tol tidak disebut dalam cadangan itu kerana tidak akan ada perubahan. Kutipan tol, walaupun dengan diskaun, akan berakhir apabila konsesi tamat,” katanya dalam satu kenyataan terbaru hari ini.

Pada 5 April lalu, Najib menyerang PH yang menuntut kredit atas langkah yang diusahakan kerajaan hari ini berhubung pengambilalihan empat konsesi tol.

Najib berkata, dasar yang diwujudkan PH pada Oktober 2019 sewaktu memegang tampuk kerajaan berbeza dengan dasar yang dibuat oleh kerajaan hari ini.

Katanya, PH merancang untuk mengambil empat lebuh raya dan kemudian bagi tol percuma pada tengah malam tetapi kenakan ‘caj kesesakan’ pada siang hari dengan kadar tol yang sama.

Beliau juga berkata, PH merancang untuk meneruskan kutipan caj kesesakan selepas tamat tempoh konsesi.

Justeru Khalid membalas: “Sebagai seorang yang tidak tahu malu, dia mesti fikir kita semua tidak tahu malu seperti dia. Dia terlupa bahawa cadangan kami adalah untuk meringankan rakyat daripada beban kewangan yang dibebankan oleh kerajaannya…

“…Bukan untuk mengaut wang daripada rakyat atau merompak rakyat melalui skim dan watak yang tidak jelas seperti dalam kisah 1MDB yang terkenal beliau.

“Adalah wajar untuk kita membuat kesimpulan bahawa “untuk mengutip tol selama-lamanya” adalah cadangan Najib jika dia masih berkuasa,” kata Khalid dalam satu kenyataan terbaru hari ini.

16 tahun masa diperlukan BN untuk buat rancangan susun semula konsesi tol?

Sementara itu, Khalid mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof yang memberitahu bahawa kerajaan BN sudah pun mengusahakan rancangan untuk pengstrukturan semula tol sejak 2002.

Justeru beliau bertanya, berapa belas tahun BN perlukan untuk muktamadkan sesuatu cadangan kerana PH dalam tempoh dua tahun sahaja sudah boleh memutuskan hal sedemikian.

“Memandangkan PH ditubuhkan pada 2018, kira-kira 16 tahun kemudian, maka kita tidak sepatutnya mendakwa idea itu daripada kita?

“Saya terkejut dengan kenyataannya itu. Berapa tahun yang diperlukan kerajaan BN untuk memuktamadkan cadangan tersebut?

“Kami ambil masa kurang dua tahun. Dan menteri itu tanpa malu mengakui bahawa mereka telah mengusahakannya selama 16 tahun, dan semuanya dilakukan dalam bilik persembunyian rahsia, kerana tiada siapa yang tahu mengenainya,” ujarnya.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/teruja-sangat-kejut-orang-kampung-bangun-sahur-pakai-gendang-remaja-terkejut-kena-simbah-air/

Baca juga: https://themalaysialife.com/lakonan-bukan-lagi-punca-utama-pendapatan-rosnah-tumpu-pada-perniagaan/