Selepas mendedahkan anak syarikat kerajaan negeri Kelantan sendiri, Daulah Najah Sdn Bhd mendapat dan meneroka kawasan balak Hutan Simpan Hutan Dara (VJR) yang sepatutnya dipelihara, hari ini Datuk Husam Musa mendedahkan pula bagaimana kayu balak bernilai kira-kira RM5 juta dicuri dari kompartment 25, Hutan Simpan Nenggiri.
Balak yang terletak di sebelah Matau Daulah Najah ini kini telah disita oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.
“Tahniah pada Skuad Khas Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia yang berjaya menyita balak-balak berhampiran matau Daulah Najah hari ini,” tulis Pengerusi Save Kelantan itu menerusi facebooknya awal malam ini.
Semalam Husam memuat naik foto-foto dan klip video timbunan balak. Pembaca boleh melihat belum ada tape sitaan, kata Husam.

“Kini saya paparkan foto-foto terbaru yang dirakamkan oleh Sukarelawan Save Kelantan lewat petang ini – 2 Jun 2022.
“Pembaca boleh melihat dengan jelas tali sitaan di pasang ke atas timbunan-timbunan balak.
“Dipercayai, balak-balak berharga mahal termasuk Merbau ini ditebang dari Kompartmen 25, Hutan Simpan Kekal Nenggiri.
“Betul-betul bersebelahan KOMPARTMEN 26, HUTAN DARA PERLINDUNGAN (VJR) yg kami dedahkan semalam.
“Balak ini dianggar berjumlah 5,000 tan. NILAI RINGGIT DIANGGARKAN PALING KURANG – RM 5 JUTA!” tulis Husam.
Bagi membuktikan balak-balak ini berkemungkinan dicuri dari kompartmen 25 HSK Nenggiri, Husam dan rakan-rakannya sertakan dua clip video rakaman drone yang diambil pada 30 Mei 2022 atau 3 hari yang lalu.

Ia menunjukkan dengan jelas Kompartmen 25 turut dibersihkan. Pada hal ia tidak termasuk dalam kawasan yang diluluskan kepada mana mana-mana pihak, katanya.

“Kawasan diluluskan kepada Daulah Najah, seperti foto matau yang kami siar ulang hari ini, hanya meliputi Kompartmen 26, 29, 30, 40, 41, dan 64. Enam kompartmen. Tak termasuk Kompartmen 25.

“Bagaimana Kompartmen 25 yang bersebelahan dengan Kompartmen 26 yang dimiliki oleh Daulah Najah ini dibalak?
“Oleh siapa?
“Pembalak Daulah Najah tak perasan ada orang curi balak sebelah kawasan kerja mereka?
“Mereka tak buat laporan? Sehingga hampir semua balak telah ditebang,” tulis Husam lagi.
Katanya, rakaman drone Save Kelantan mengenai pembalakan haram di kompartmen 25 dibuat pada 30 Mei 2022.
Pada waktu ini, jentera berat Daulah Najah sudah dikeluarkan.
Hanya balak yang telah dipotong tersusun di matau. Termasuk potongan balak pendek. Sila lihat foto disertakan, katanya.

“Dahsyat. ‘Rompakan’ hasil mahsul bumi Kelantan yang memilukan,” katanya.
Memandangkan balak-balak yang dipercayai dicuri ini TELAH DISITA, pihak berwajib perlu mengeluarkan kenyataan rasmi dengan segera, kata Husam.
“Alhamdulillah squad Save Kelantan di lapangan siap sedia untuk memantau perkembangan selanjutnya,” katanya.
Husam juga menyiarkan video timbunan kayu balak yang dipotong pendek (8 kaki setiap satu) yang dirakamkan di kawasan bersebelahan kawasan kerja Daulah Najah itu.