Malaysia Dateline

Siapa dalang Tabung Akaun Amanah sumbangan kuota Bumiputera?

Adun Pulai Sebatang, Taqiuddin Cheman dalam sidang Dun Johor yang berlangsung semalam telah membangkitkan persoalan berkenaan dengan Tabung Akaun Amanah Sumbangan Kuota Bumiputera.

Tabung tersebut sebelum ini menjadi kontroversi bila Adun dari Senggarang, Khairuddin A Rahim telah membangkitkan soalan tambahan yang telah dijawab oleh Exco Perumahan, Dzulkefly Ahmad.

Taqiuddin dalam ucapan perbahasan beliau telah membangkitkan berkenaan individu yang terbabit dalam penyalah gunaan tabung berkenaan.

“Dalam rekod yang diberikan oleh exco, terdapat butiran yang meragukan dengan pembelanjaan tabung tersebut.

“Butiran yang mencurigakan itu adalah berkenaan lawatan kerja ke London berjumlah RM 822,640.00 yang menggunakan duit tabung berkenaan.

“Persoalannya siapakah individu yang terbabit dalam lawatan kerja berkenaan dan bagaimana duit hampir satu juta itu boleh dikeluarkan tanpa ada sebarang perkara yang berkaitan?” bahasnya dalam sidang Dun Johor.

Tabung berkenaan diwujudkan bermatlamat untuk membiayai kemudahan berfaedah dan ia menjadi pertikaian apabila duit tabung tersebut digunakan untuk membuat lawatan kerja.

Pendapatan tabung ini berdasarkan sumbangan sebanyak 7.5 peratus dari kuota bumiputera yang terjual kepada pembeli.

Telah dijanjikan sebelum ini bahawa hasil dari tabung berkenaan adalah untuk membangunkan semula segala perkara yang melibatkan bumiputera seperti fasiliti dan infrstruktur semula bagi rakyat yang bertaraf bumiputera.

Sebelum ini pada 3 Disember 2018, Adun Senggarang telah membuat laporan SPRM Johor berkenaan dengan tabung ini yang dikhuatiri telah disalah gunakan oleh pihak kerajaan sebelum ini.