Malaysia Dateline

Siapa dan dari mana calon TPM bukan keutamaan

Baru sahaja perisytiharan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengenai perlantikan Perdana Menteri ke-9, telah berbunyi suara-suara kurang enak lagi sumbang mengenai siapakah pula bakal Timbalan Perdana Menteri.

Kedengaran terdapat perlumbaan dalam kalangan pimpinan Bersatu untuk mengisi kekosongan kerusi nombor dua. Kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sarawak dan juga pimpinan Parti STAR pula mahukan supaya kerusi nombor 2 itu diberikan kepada wakil dari negeri di Malaysia Timur (Sabah & Sarawak).

Tanpa menidakkan hajat kepimpinan dari Sabah dan Sarawak, ini sebenarnya suasana tidak sihat ditimbulkan sebaik sahaja Tan Sri Mahiaddin melepaskan jawatan dan YDPA sedang menjalankan proses mengikut perlembagaan untuk melantik seorang Perdana Menteri dalam pentadbiran negara.

Seolah-olah titah YDPA supaya kerajaan yang dibentuk ini fokus kepada isu-isu semasa, bergerak sebagai satu pasukan dan membina kestabilan tidak diendahkan. Sedangkan belum kering lagi tinta baginda!

Penulis boleh bersetuju buat kali ini dengan pandangan Tan Sri Annuar Musa mantan Menteri Wilayah Persekutuan supaya parti-parti politik dalam negara kita mula memikirkan a new political architecture (seni bina politik baharu) untuk masa depan.

Pandangan beliau ini setelah mempertimbangkan ketidakstabilan dua buah kerajaan terdahulu, PH dan PN. Tan Sri Annuar Musa juga mahu gagasan lama iaitu konsep parti menguasai kerajaan dibetulkan, kerana menurut beliau yang menguasai adalah gabungan (coalition) bukannya satu parti.

Penulis boleh bersetuju dengan pandang itu kerana sebenarnya tiada satu parti pun yang menguasai kerajaan. Maka, pembentukan kerajaan sama ada dalam bentuk kerajaan perpaduan atau kerajaan campuran atau apa sahaja yang menunjukan usaha kebersamaan dan konsensus parti-parti politik.

Sehubungan dengan itu, tuntutan supaya Timbalan Perdana Menteri diwakili oleh sesuatu parti, menunjukan agenda berpolitik yang tidak henti-henti. Sepatutnya semua ini harus diselesaikan secara konsensus bersama Perdana Menteri yang dilantik. Dalam suasana sekarang, siapa dan dari mana bukan satu keutamaan.

Keutamaannya adalah sub-ordinat Perdana Menteri mestilah yang boleh berfungsi secara efektif, kolektif, menghormati semangat kebersamaan, membantu YAB PM mencapai visi dan misi seperti yang dititahkan oleh YDPA.

Pada masa yang sama, berebut atau melobi untuk menjadi anggota kabinet, juga yang kemungkinan sedang berlaku, harus dielakkan. Kabinet pasca TSMY harus dengan bilangan yang optima dan lebih kecil
keanggotaannya dari sebelum ini.

Kabinet bekewajipan untuk memfokus kepada pemulihan negara dari pandemik COVID-19 secara lebih teratur, berstrategi dan terfokus dan pemulihan ekonomi negara dengan kadar segera.

Seperti yang penulis nyatakan dalam tulisan terdahulu, ahli politik disemua peringkat harus mengutamakan rakyat dan negara. Tugas utama YAB PM dan anggota kabinet nanti adalah meneliti semula pelan pemulihan negara, memberi tumpuan kepada proses vaksinasi, meneliti dan memberi solusi segera terhadap kesempitan hidup rakyat, meneliti kaedah pemulihan ekonomi negara dan peluang pekerjaan; dan pemulihan semula proses pendidikan di pelbagai peringkat dan membina semula imej negara yang tercalar kerana kemelut politik yang mengakibatkan pelabur kurang kenyakinan untuk melabur di Malaysia.

Itulah di antara fokus utama, bukan siapa TPM dan lobi-melobi untuk diangkat sebagai anggota kabinet. Yang tidak ‘perform’ dalam kabinet terdahulu, atau yang hanya pandai terjerit terpekik dalam parlimen tanpa data dan fakta tidak harus menganggotai kabinet.

Kabinet haruslah dalam kalangan yang berpengetahuan, bermaklumat, agresif, dedikasi, kreatif dan inovatif. Pemilihan anggota kabinet harus dilakukan oleh satu Jawatankuasa Pemilih (Search Committee), sebelum senarai dipersembahkan kepada YDPA.

Rakyat menaruh harapan. Harapan rakyat adalah kesatuan dalam kalangan ahli politik dan parti politik untuk bergerak kehadapan memulihkan negara dengan kadar segera. Mungkin sudah tiba masa parti-parti politik bergerak kehadapan dalam bentuk kerajaan perpaduan atau kerajaan campuran atau apa sahaja namanya yang menunjukan pemerintahan yang bergerak seiring, sehati sejiwa dan menyantuni titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Sehinggalah keadaan negara pulih dan pilihanraya umum boleh diadakan, berfikirlah untuk rakyat dan negara bukan untuk mengeyangkan tembolok pemimpin dan ketamakan untuk berkuasa.

Jadilah pemimpin yang matang bukan sang haloba pangkat dan kuasa. Jadilah seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz, penguasa yang adil, saksama, berjiwa rakyat bukan sang penguasa yang jahil lagi tamak haloba.

Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam berpengkalan di Jordan, Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian akademi