Malaysia Dateline

Siapa ganti Mahiaddin? Ketua parti menghadap Agong petang esok

Bakal Perdana Menteri kesembilan bakal diketahui susulan pertemuan semua ketua parti politik dengan Yang di-Pertuan Agong yang dijadualkan berlaku petang esok.

Perjumpaan dijangka pada pukul 2.30 petang itu turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim, lapor Utusan Online malam ini.

Tan Sri Mahiaddin Md Yasin hanya bertahan 17 bulan menjadi Perdana Menteri Malaysia kelapan apabila meletak jawatan petang tadi.

Tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu ekoran hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Walau bagaimanapun, Seri Paduka berkenan supaya Mahiaddin menjalankan tugas sebagai ‘caretaker’ Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Situasi terkini menyaksikan bilangan kerusi PN di Dewan Rakyat hanya 100 kerusi daripada keseluruhan 220 kerusi Parlimen.

Sementara itu, terdapat 120 Ahli Parlimen sebelum ini yang menolak Mahiaddin sebagai Perdana Menteri.