Siapa Jeevaratnam yang MIMOS bayar gaji tinggi? soal SAMM

Siapa Jeevaratnam yang MIMOS bayar gaji tinggi? soal SAMM

 

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mempersoal tindakan MIMOS Berhad membayar gaji tinggi kepada kakitangan yang tidak wujud.

Pengasasnya, Badrul Hisham Shaharin berkata, salah satu contoh tersebut adalah Jeevaratnam Ratnam yang dikatakan sebagai Pengurus di Jabatan Strategi Korporat.

Beliau yang juga dikenali sebagai Chegubard berkata, siasatan pihaknya mendapati ramai warga MIMOS langsung tidak mengenali individu terbabit.

“Ini bermaksud ia dibayar (gaji) tanpa perlu muncul. Adakah ini amalan betul?” soalnya juga memberitahu CEO dan Presiden MIMOS adalah bekas pemimpin Umno Pulau Pinang yang mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri.

Menurut Chegubard, siasatan lanjut turut mendapati kemungkinan penama tersebut merupakan individu yang rapat dengan Ahli Parlimen Tuaran juga Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI).

“Adakah ini bagi melancarkan dan menutup apa yang berlaku di MIMOS?” bidasnya.

Mimos singkir Melayu

Pada masa sama, jelasnya, ratusan pakar teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan terutama Melayu telah disingkirkan apabila kebanyakan daripada mereka bertindak menegur ketirisan dan penipuan yang dilakukan di MIMOS.

Katanya, MIMOS pada masa ini dibanjiri warga asing yang dibayar gaji tinggi manakala peruntukan untuk gaji iaitu Anggaran Belanja Mengurus (ABM) tidak dibayar kepada kumpulan sasar.

“Kumpulan sasar terpaksa menggunakan peruntukan pembangunan (RMK-11) yang sepatutnya digunakan untuk membiayai aktiviti penyelidikan seperti membeli bahan untuk ujikaji, kelengkapan, mesin dan sebagainya untuk membayar gaji.

“Lebih dari itu, peruntukan pembangunan (RMK-11) juga digunakan (lebih kurang sebanyak RM20 juta) untuk membayar gaji tenaga kerja kontrak termasuk buruh asing,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Chegubard berkata, sebuah syarikat (third party) sedang menikmati keuntungan dengan membawa masuk pekerja yang diragui kelulusan, pengalaman dan kepakaran sebagai ‘programmer’.

Mereka, jelasnya, dibayar gaji besar yang sebahagian daripada gajinya dipotong sebagai caj syarikat.

“Kenapa ini dibiarkan sedangkan ribuan anak Malaysia dalam bidang ini terbiar?

“Adakah kerana syarikat ini ada kena-mengena dengan pihak atasan?” bidasnya.

Sehubungan itu, Chegubard berpendapat Umno tidak benar-benar memelihara kepentingan Melayu.

“Umno hebahkan pada anda di bawah perlunya pertahankan Melayu dan sebagainya tetapi seorang bekas pimpinan Umno yang dikatakan dilindungi oleh pemimpin utama Umno sekarang meminggirkan Melayu dalam sebuah organisasi yang menjadi tempat menyedut wang,” tambahnya lagi.

TAGS