Siapa kata kerajaan sekarang tidak jaga Melayu, soal Mat Sabu

Siapa kata kerajaan sekarang tidak jaga Melayu, soal Mat Sabu

Ceramah Grand Finale Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau malam ini menyaksikan rata-rata pimpinan tertinggi parti pemerintah itu menegaskan tentang jaminan bahawa Melayu tidak terancam.

Paling menonjol Presiden AMANAH, Mohamad Sabu yang secara berseloroh nadanya tetapi serius berkata hanya mahu menyebut tentang Melayu sahaja dalam ceramahnya.

Menteri Pertahanan itu menyebut isu ancaman Melayu dan Islam dimainkan selepas Umno-Pas “berkahwin”.

“Kita (PH) membela semua kaum. Kebetulan kaum tertinggal di belakang adalah Melayu.

“Kerajaan BN dulu Melayu kuasai tapi yang melingkupkan harta Melayu adalah pemimpin-pemimpin Melayu,” tegasnya.

Bekas Timbalan Presiden Pas itu memberitahu usaha pemulihan institusi berkaitan kepentingan Melayu dan Islam seperti Tabung Haji (TH) dilakukan sejak setahun lalu.

Jelas beliau, Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebenarnya bertanggungjawab menyelamatkan TH.

“Setahun kita bincang nak tutup lubang. Pertama, Tabung Haji. Di bawah pemerintahan kerajaan sebelum ini, Tabung Haji hartanya hampir RM8 bilion.

“Mahu tidak mahu, Menteri Kewangan kata TH mesti diselamatkan. Kata Menteri Kewangan kita perlukan RM17 bilion. Menteri Cina selamatkan Melayu.

“Melayu yang curi. RM17 bilion digunakan untuk selamatkan Tabung Haji,” ujarnya di Dataran Metro Park Sendayan malam tadi.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, semua ahli ekonomi mengesahkan TH pada masa ini selamat, kukuh dan akan lebih kuat pada masa akan datang.

“Siapa kata kerajaan sekarang tidak jaga Melayu? Muka ini nak gadai Melayukah?” soalnya sambil menunjukkan jarinya ke wajah Tun Mahathir pada kain rentang di pentas ceramah.

Beliau juga mengingatkan momokan kononnya Melayu Islam terancam di Pulau Pinang sejurus DAP berkuasa mulai 2008 juga hanya menyaksikan Umno hanya semakin hilang pengaruh.

“Di Pulau Pinang dulu habislah Cina perintah. Koh Tsu Koon itu Jawa. Lama-lama selepas 10 tahun Umno hanya tinggal dua kerusi,” katanya.

Mohamad seterusnya turut menjelaskan usaha PH memulihkan Felda melalui peruntukan kerajaan sejumlah RM6 bilion.

“Majoriti Melayu di Felda. Kata Azmin nak selamatkan Felda RM6 bilion. Kena cepat sebab peneroka sudah marah.

“Duit tidak ada cari juga. Wang kerajaan RM6 bilion untuk selamatkan Melayu,” tegasnya.

Janji

Melengkapkan lagi bukti kerajaan PH tidak mengabaikan kepentingan Melayu, Mohamad memberitahu realiti kedudukan kewangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Menurutnya, LTAT tidak pernah mencatatkan keuntungan pada 2017 sebaliknya kerugian.

“LTAT sebenarnya rugi pada 2017 tetapi diisytihar untung menjelang PRU-14.

“Bang Mat berjanji akan menjaga hak tentera dan semua bekas tentera,” katanya membahasakan dirinya sebagai Bang Mat.

Beliau memberitahu beberapa siri perbincangan bersama Menteri Kewangan juga dilakukan untuk inisiatif peruntukan khas kepada golongan tentera berpencen dan tidak berpencen.

“Kita mahu wang digunakan kembali kepada rakyat. Jangan bimbang kami ada.

“Undi Dr Streram kita besok. Kita akan bergerak terus mempertahankan hak Melayu, Cina, India, Kadazan dan lain-lain,” katanya lagi.

PRK DUN Rantau adalah PRK ketujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober), Parlimen Cameron Highlands (26 Januari) serta DUN Semenyih (2 Mac).

Esok PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon PH, Dr S. Streram, calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas iaitu suri rumah, R. Malarvizhi dan bekas pensyarah, Mohd Nor Yassin.

Terdapat 20,926 pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, empat orang pengundi tidak hadir luar negara dan selebihnya 118 pengundi awal.

Daripada jumlah itu, 55.51 peratus atau 11,615 adalah pengundi Melayu, Cina (18.46 peratus atau 3,863) dan India sebanyak 26 peratus atau 5,441 orang.