Siapa layak dapat pinggan mangkuk dan perabot lepas bercerai? Ini penjelasan peguam

Oleh WAN SITI AMINAH

Kecoh di media sosial baru-baru ini mengenai isu seorang pempengaruh yang didakwa dihalang untuk mengambil kesemua barang-barang miliknya dalam kediaman bekas suaminya.

Isu yang hangat diperkatakan di platform media sosial ini telah menimbulkan persoalan berhubung hak pemilikan barang dalam rumah seperti perabot, pinggan mangkuk dan sebagainya selepas pasangan suami isteri bercerai.

Perbincangan ini turut meraih perhatian peguam syariah dikenali sebagai Nuaim Razak yang tampil memberikan penjelasan tentang tuntutan harta sepencarian termasuk barangan dalam rumah sepanjang tempoh perkahwinan.

Menerusi satu perkongsian di platform TikTok, peguam itu memaklumkan bahawa sang isteri mempunyai hak untuk menuntut barangan yang mereka beli sepanjang tempoh perkahwinan.

Walau bagaimanapun, mereka yang mahu mendapatkan semula barangan berkenaan disarankan untuk membuat tuntutan harta sepencarian terhadap suami di muka pengadilan sekiranya gagal mencapai kata sepakat.

“Contoh isteri ada belikan set pinggan mangkuk, perabot, televisyen dan peti ais dalam tempoh perkahwinan. Tetapi selepas bercerai, suami bawa lari barangan tersebut atau berkeras tak mahu pulangkan semula kepada isteri.

“Jadi isteri boleh menyertakan barangan tersebut dalam tuntutan harta sepencarian. Kemudian mahkamah boleh perintahkan suami untuk membayar kepada isteri nilai bahagian yang telah ditentukan atau apa-apa kaedah yang mahkamah fikirkan munasabah.

“Takrifan harta sepencarian adalah sebarang harta yang dibeli atau diperoleh dalam tempoh perkahwinan. Jika dibeli sebelum, harta tersebut hendaklah dimajukan dan dikembangkan dalam tempoh perkahwinan. Baru ianya boleh dikira sebagai harta sepencarian,” jelasnya.

Dalam perkongsian yang sama, peguam berkenaan turut memaklumkan bahawa si suami juga berhak membuat tuntutan ini sekiranya mempunyai bukti bahawa mereka mengeluarkan wang untuk membeli barang berkenaan.

“Suami juga boleh tuntut bahagian, dengan syarat perlu buktikan bahawa dia ada sumbangan juga terhadap barangan tersebut.” Ulas peguam itu dalam perkongsian yang dimuat naik di akaun miliknya.

Terdahulu, seorang pempengaruh wanita menjadi sorotan ramai selepas mendakwa telah dicakar oleh isteri kepada bekas suaminya ketika ingin mengambil kesemua barang miliknya dalam rumah yang pernah didiaminya sebelum bercerai.

Baca juga: Pelik hutang negara makin bertambah, ramai tak faham beza hutang terkumpul dengan hutang bersih