Siapa menipu, Najib atau sepupu Altantuya, tanya Hanipa

Siapa menipu, Najib atau sepupu Altantuya, tanya Hanipa
Hanipa mempertikaikan siapakah antara sepupu Altantuya atau Najib yang menipu.

Siapakah yang menipu antara sepupu wanita Monggolia yang dibunuh dengan kejam, Altantuya Shariibuu atau Datuk Seri Najib Razak kini menjadi persoalan dan menarik perhatian pelbagai pihak termasuk timbalan menteri undang-undang.

Mohamed Hanipa Maidin dalam satu kenyataannya berkata, seorang wanita iaitu sepupu mendiang wanita Mongolia dilapor berkata secara bersumpah dalam mahkamah yang beliau telah melihat foto dua lelaki bersama sama mendiang. Salah seorang lelaki tersebut dikatakan mantan PM.

“Wartawan lantas bertanya pada mantan PM tentang hal tersebut. Saya sempat tonton rakaman video response mantan PM tersebut. Beliau kata dakwaan sepupu mendiang itu adalah fitnah dan tipu.

“Jadi, logiknya salah seorang dari mereka mungkin menipu. Samada sepupu mendiang yang kata di mahkamah secara bersumpah itu yang menipu atau mantan PM yang kata sepupu mendiang itu menipu yang sebenarnya tipu. Kita tak tahu,” kata Hanipa dalam kenyataannya itu.

Bagi Hanipa, bezanya yang mantan PM kata sepupu mendiang itu tipu, mantan PM itu kata di luar mahkamah dengan tidak bersumpah.

“Tapi PM itu juga kata dia juga pernah bersumpah di dalam masjid menafikan dia pernah kenal mendiang.

“Jika sepupu mendiang itu tipu di mahkamah selepas bersumpah ia dipanggil “perjury”.

“Jika mantan PM itu pula menipu dalam sumpah di masjid, itu pula dipanggil dosa,” kata Hanipa lagi.

Dalam dunia ini, kata Hanipa, dua-dua perkara itu pernah berlaku.

“Orang tipu di mahkamah meskipun bersunpah dan juga orang tipu di masjid walaupun bersumpah.

“Maaf, saya sekadar melaporkan,” kata ahli parlimen Sepang yang juga seorang peguam itu.

Sepupu mendiang Altantuya Shaariibuu semalam memberitahu mahkamah yang model dan penterjemah itu ada menunjukkan sekeping gambarnya bersama kekasihnya, Abdul Razak Baginda dan seorang timbalan perdana menteri yang juga bernama “Razak”.

Burmaa Oyunchimeg, 37, memberi keterangan sebagai saksi pertama bagi tuntutan saman RM100 juta yang difailkan oleh keluarga Altantuya terhadap kerajaan Malaysia.

Menurut Oyunchimeg, ketika mereka berada di Mongolia, Altantuya menunjukkan gambarnya bersama kekasihnya, Abdul Razak di Paris. Lawatan ke Paris adalah sebelum pertemuan antara Oyunchimeg, Altantuya dan Abdul Razak di Singapura pada 2005.

“Saya nampak gambar tiga orang, dua lelaki dan Altantuya. Saya tanya siapa mereka, dan dia kata salah seorang daripada mereka adalah timbalan perdana menteri dan seorang lagi ialah Razak yang sama-sama bekerja dan menjalankan perniagaan.

“Saya tanya adakah mereka berdua adalah adik-beradik sebab nama mereka sama.

“Dia kata tidak, tetapi kedua-duanya bersahabat baik, rakan berniaga dan kerja bersama,” kata Oyunchimeg di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.