Malaysia Dateline

Siapa MB Perak yang angkat sumpah hari ini?

Selepas empat hari kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak tumbang, Menteri Besar ke-13 dari Perikatan Nasional (PN) bakal dilantik hari ini.

Setiausaha kerajaan negeri Perak, Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah memberi perkenan supaya istiadat pelantikan dan angkat sumpah jawatan itu dilangsungkan pada jam 3.00 petang ini.

Dalam kenyataan media semalam, beliau memberitahu istiadat tersebut akan berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menamakan siapa Menteri Besar Perak yang baru.

Untuk rekod, Perak muncul negeri ketiga mempunyai kerajaan baru menerusi PN selepas Johor dan Melaka.

Petang semalam, PN Perak mengemukakan tiga nama calon Menteri Besar Perak kepada Sultan Nazrin Shah petang semalam.

Bekas Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu mengesahkan ketiga-tiga calon itu ialah dirinya sendiri selain Pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria.

Ketiga-tiga calon Menteri Besar tersebut juga hadir ke Istana Kinta di Ipoh bagi memaklumkan perkembangan terkini mengenai situasi politik di Perak kepada Sultan Nazrin.

Ini kali kedua mereka menghadap Sultan Nazrin selepas yang pertama pada, 10 Mac lalu selepas PN Perak sepakat membentuk kerajaan negeri yang baru.

Sultan Nazrin memberi perkenan peletakan jawatan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak.

Sehari sebelum itu, Ahmad Faizal mengumumkan PN Perak terdiri daripada Umno, Pas dan Bersatu mendapat sokongan 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada keseluruhan 59 Adun bagi membentuk kerajaan baru di negeri itu.

Empat Adun Bersatu diketuainya keluar daripada PH dan mereka bergabung dengan 25 Adun Umno serta tiga Adun Pas.