Siapa nak bayar faedah hutang 1MDB USD50 juta? soal Mahfuz

Siapa nak bayar faedah hutang 1MDB USD50 juta? soal Mahfuz

Bayaran faedah sebanyak USD50 juta bagi salah satu bon 1MDB jika gagal dilunaskan pada 19 April lalu menjadi satu pelanggaran kepada keseluruhan bon yang mencecah USD3.5 bilion, tegas Datuk Mahfuz Omar.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, kegagalan tersebut juga boleh mengundang kemungkinan pelanggaran kepada kesemua bon 1MDB yang lain berjumlah kira-kira USD5.1 bilion.

“Siapa nak bayar tu Datuk Seri (Najib Razak)? Sekiranya ianya diisytihar sebagai pelanggaran kepada kesemua bon (dan juga pinjaman-pinjaman) yang lain, maka pemegang-pemegang bon dan peminjam berhak menuntut bayaran tebusan bon dan pinjaman serta-merta sebelum tempoh matang.

“Ish, takut Datuk Seri. Nanti macam kena ligan dengan ceti dan along,” sindirnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut pemimpin Pas itu, kerajaan akan terdedah kepada pemegang-pemegang bon dan pemberi pinjaman (pemiutang) bagi jumlah hutang yang tidak kurang daripada USD5.1 bilion jika ada di antara bon atau pinjaman tersebut di bawah jaminan kerajaan.

“Ambil duit mana nak bayar ni Datuk Seri? Ada lagikah baki duit RM2.6 bilion yang Tok Arab tu bagi? Ish, ada duitkah Datuk Seri nak bayar? Rimas kami ni. Kami nak tolong derma bayar pun kami tak kenal Tok Arab nak minta derma,” bidasnya.

Mahfuz pada masa sama turut menggambarkan tekanan ekonomi yang ditanggung rakyat sama ada di bandar mahupun luar bandar ketika musim panas Elnino sedang melanda negara sekaligus tidak dapat membantu Najib melunaskan hutang 1MDB.

“Harap getah sekerap pun masih murah walaupun RM2.50 kupang sekilo hari ini tapi musim panas Elnino ni susu getah pun kurang. Padi pun baru RM1.50 kupang sekilo sekali subsidi. Itu pun bendang baru masuk air dan nak menabur.

“Yang kerja makan gaji dengan kerajaan atau swasta pun terbeban dengan barang mahal. Nak tolong pun tol dan GST Datuk Seri dah balaih (balas). Ni nak pasang 1,200 kamera AES lagi semua rakyat kena dengan cuaca panaih (panas) Elnino dan El Umno,” sindirnya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap Najib melunaskan hutang berkenaan pada kadar segera dengan cara apa sekalipun supaya rakyat tidak menanggung malu.

“Jangan pi berhutang pula untuk nak bayar hutang. Saya harap Datuk Seri dapat segera bayar hutang (itu) dan beritahu kami bayarkah atau belum lagi,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, Najib pada 7 April lalu berkata laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB menunjukkan RM42 bilion tidak hilang daripada syarikat itu seperti didakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

TAGS