Malaysia Dateline

Siapa Nasir Baki dan apa kedudukannya dalam kerajaan?

Tanpa melalui sebarang proses siasatan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki nampaknya terus dibersihkan daripada sebarang salah laku atas dakwaan memiliki sejumlah saham yang besar dalam sebuah syarikat korporat.

Beliau dibersihkan hanya dengan memberi penjelasan kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM saja.

Menurut Pengerusi LPPR, Abu Zahar Ujang, pihaknya berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa saham-saham itu adalah milik adiknya yang meminjam akaunnya bagi membelinya pada 2015 dahulu.

Saham-saham itu kini, katanya, telah pun dipindahkan kepada nama adiknya, Nasir Baki.

Dengan itu, tambah Abu Zahar, LPPR berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM itu tidak mempunyai sebarang manfaat kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham tersebut.

“Ahli-ahli LPPR berpendapat Azam tiada sebarang kepentingan sendiri dalam saham-saham berkenaan,” kata Abu Zahar lagi.

Wowww….senangnya Azam membersihkan diri dan dibersihkan oleh LPPR!

Terus terima saja bulat-bulat penjelasan Azam tanpa perlu apa-apa siasatan?

Persoalannya adakah selama ini Azam pernah memberi penjelasan kepada pihak berkaitan dalam kerajaan berkenaan pemilihan saham tersebut?

Adakah JPA dan SPRM sendiri sebelum ini tahu berkenaan pemilikan saham tersebut kerana pada tahun 2015, Azam adalah Pengarah Siasatan SPRM dan sudah tentu ada ketua di atasnya?

Berkenaan penjelasan Azam kepada LPPR bahawa saham tersebut adalah milik adiknya yang meminjam namanya, ini sesungguhnya sesuatu yang pelik sekali kerana biasanya penjawat awam yang akan meminjam nama atau akaun orang lain jika mereka ada perniagaan di belakang tabir yang hendak dilakukan.

Tetapi, dalam kes Azam, beliau pula yang membenarkan namanya sebagai penjawat awam dan Pengarah Siasatan SPRM untuk digunakan untuk urusan perniagaan oleh orang lain.

Tidakkah ini pelik?

Kenapa adiknya tidak menggunakan nama dan akaunnya sendiri?

Adakah adiknya tidak mempunyai akaun atas namanya sendiri?

Kalau adiknya pandai main saham dan tahu berkenaan pemilikan saham, adakah adiknya tidak tahu membuka akaun sendiri?

Siapa Nasir Baki itu dan apa kedudukannya dalam kerajaan?

Pernahkah kita mendengar namanya sebelum ini?

Apakah pangkat dan kedudukannya lebih besar daripada Azam sendiri sehingga beliau terpaksa meminjam akaun abangnya untuk memiliki saham?

Selain itu, dengan penjelasan Azam bahawa saham itu adalah milik adiknya yang hanya meminjam namanya,
Bagaimana urusan pembiayaan saham-saham itu dilakukan?

Adakah ia menggunakan duit Azam atau duit adiknya?

Bolehkah Azam menunjukkan semua transaksi kewangan sebagai bukti?

Walaupun ternampak dibersihkan oleh LPPR, hakikatnya Azam belum bersih lagi di mata masyarakat, apa lagi SPRM sendiri terkait dengan banyak hal memalukan kebelakangan ini.

Hanya badan siasatan bebas yang mampu menyiasat secara menyeluruh dan tanpa berpihak saja dapat menentukan sama ada Azam benar-benar bersih atau sebaliknya.