Gerangan seorang lelaki tua yang khusyuk berdoa di sisi jenazah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi beberapa hari lalu menjadi tanya ramai.
Imej berkenaan menjadi antara yang paling ikonik dalam majlis penghormatan terakhir kepada Allahyarham, sehingga ramai warga maya menyifatkan momen itu menggambarkan kasih dan penghargaan rakyat biasa terhadap pemimpin berjiwa sederhana.
Menurut laporan media tempatan, lelaki tua itu adalah rakyat biasa yang dikenali sebagai Muhammad Zen atau lebih mesra dipanggil Ustaz Zen.
Ustaz Zen berkata beliau sejak dahulu mengenali Tun Abdullah melalui bacaan biografinya yang berlatar belakang agama dan berketurunan keluarga ulama terkenal selain keperibadian Allahyarham yang sentiasa menjurus kepada Islam.
“Sepanjang hidup, saya tidak pernah bersalaman atau bertemu Pak Lah, tetapi saya sangat kagum dengan beliau. Saya melihat beliau sebagai seorang ‘faqqih fiddin’, sama seperti Khalifah Sulaiman Abdul Malik (zaman Kerajaan Umaiyah) dalam sejarah Islam.
“Sulaiman jika tidak menjadi khalifah (pemimpin) kepada Bani Umaiyah, mungkin beliau akan menjadi ulama besar. Begitu juga Pak Lah, jika tidak terlibat dalam politik, saya percaya beliau akan menjadi ulama dan mengajar agama seperti tok guru lain,” katanya.
Beliau yang berasal dari Pulau Bawean, Jawa Timur, Indonesia, telah menetap di Malaysia lebih 30 tahun selepas berkahwin dengan wanita tempatan dan dikurniakan tiga cahaya mata.
Berkongsi mengenai gambar yang memaparkan dirinya berada di bahagian hadapan berhampiran keranda Allahyarham, Ustaz Zen mengakui tidak menyangka akan berada di situ.
“Perancangan asal saya mahu ke Masjid Negara pada awal pagi, tetapi ada kekangan. Saya tiba hampir waktu Zuhur, seorang diri menaiki Grab. Ketika itu, kawasan agak lengang. Saya berniat mahu ambil berkat orang soleh dan berdoa di sisi Allahyarham.
“Tiba-tiba saya sudah berada di kawasan hadapan VIP (orang kenamaan), saya pun tidak pasti bagaimana, dan tiada siapa yang menghalang. Saya mohon maaf sekiranya tindakan saya itu salah. Saya hanya baca al-Fatihah, tiga surah qul (Surah al-Ikhlas, al-Falaq, an-Nas) dan berdoa,” katanya.
Baca juga: “Bapa aku kahwin ramai, jadi aku kena tanggung mak dan adik beradik tapi isteri aku tak faham…”