Siapa Pau Marti Vicente? Ini fakta yang perlu anda tahu tentang pengganti Kim Pan Gon

Oleh MALAYSIADATELINE

Susulan perletakan jawatan Kim Pan Gon sebagai pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente terus dilantik menjadi pemangku ketua jurulatih pasukan kebangsaan.

Perlantikan Pau Marti yang sebelum ini bergelar penolong ketua jurulatih diumumkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Jurulatih berusia 41 tahun itu bukanlah calang-calang selepas menjadi antara ‘orang kepercayaan’ Kim Pan Gon terutamanya di dalam barisan kejurulatihan Harimau Malaya, lapor Berita Harian.

Mungkin itulah di antara faktor menyebabkan jurulatih asal Sepanyol itu ‘dinaikkan pangkat’ bagi mengendalikan skuad senior selepas Pan Gon membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya, berkuatkuasa serta-merta.

Malah keputusan yang diambil FAM ini dianggap tepat memandangkan Pau Marti sudah ‘mengikuti’ Pan Gon sejak hari pertama jurulatih asal Korea itu mengendalikan skuad kebangsaan bermula pada 2022 lalu.

Kejohanan Pestabola Merdeka yang bakal berlangsung pada bulan September ini di Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi ujian sulung buat pengendali berkenaan dalam meneruskan kerja Kim Pan Gon.

Sekadar info, jurulatih itu dikatakan mempunyai latar belakang yang ‘berprofil tinggi’ dengan pemilikan lesen profesional daripada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

Bukan itu sahaja, Pau Marti juga sempat bergelar pembantu jurulatih untuk pasukan gergasi Eropah iaitu Barcelona untuk skuad Bawah 18 tahun (B-18) dan juga B-19 sebelum menyertai skuad kebangsaan Malaysia.

Selain itu, pasukan Adelaide United yang berpangkalan di Australia dan Kitchee SC dari Hong Kong juga pernah menggunakan khidmat pengendali berkenaan sebagai pembantu jurulatih.

Terdahulu, Kim Pan-gon semalam mengumumkan perletakan jawatannya sebagai pengendali Harimau Malaya selepas dua tahun empat bulan membimbing pasukan kebangsaan negara.

Baca juga: Tak puas hati kerajaan nak haramkan semula ganja, 2 aktivis sanggup mogok lapar